Mahrez mahu lebih peluang di Manchester City

Mahrez tampil cemerlang apabila meledak hatrik dalam aksi separuh akhir Piala FA menentang Sheffield United di Wembley pada Ahad.
Mahrez tampil cemerlang apabila meledak hatrik dalam aksi separuh akhir Piala FA menentang Sheffield United di Wembley pada Ahad.
A
A
A

RIYAD Mahrez berharap hatrik bersejarahnya menentang Sheffield United ketika aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Wembley pada Ahad lalu dapat menjamin tempatnya dalam kesebelasan utama Manchester City.

Menurut Mahrez, beliau sentiasa berusaha membuktikan kualiti sentuhan dimilikinya sebagai pemain yang lebih cenderung bergerak di bahagian sayap.

“Terdapat ramai pemain hebat di Manchester City dan semua orang sedang mencari peluang mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

“Apabila mendapat peluang, anda perlu membuktikan kepada jurulatih bahawa anda layak bermain dalam kesebelasan utama pasukan,” kata pemain kelahiran Algeria itu.

Bekas pemain Leicester City berusia 32 tahun itu tidak beraksi pada perlawanan timbal balik suku akhir Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich yang menyaksikan City menang dengan agregat 4-1.

Namun, Mahrez mucul wira apabila meledak hatrik bagi membantu City menewaskan Sheffield United 3-0, sekali gus muncul pemain pertama menjaringkan tiga gol dalam aksi separuh akhir Piala FA sejak 1958.

“Kami bersaing antara satu sama lain dan saling memotivasikan diri sendiri untuk kepentingan pasukan. Itu menjadi kekuatan pasukan sejak beberapa musim lalu,” jelas Mahrez.

Sementara itu, Guardiola mengakui Mahrez sentiasa meluahkan kemarahannya apabila tidak mendapat peluang berada dalam kesebelasan utama City.

“Sepanjang masa dia akan marah tetapi hari ini tidak. Dia menampilkan permainan luar biasa dengan mentaliti menjaringkan gol,” ujar Guardiola.

City yang dalam laluan memburu gelaran hatrik musim ini dijadualkan menentang Manchester United dalam aksi final Piala FA di Stadium Wembley pada 3 Jun depan.