Penduduk Islam di Sri Lanka larikan diri, bersembunyi

Pihak berkuasa meningkatkan pemeriksaan keselamatan di Colombo.
A
A

COLOMBO - SRI LANKA. Ratusan orang Islam Pakistan melarikan diri daripada kawasan pelabuhan di utara ibu negara berikutan komuniti itu kini hidup dalam ketakutan susulan insiden serangan pengeboman yang meragut lebih 350 nyawa pada Ahad lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Puluhan maut dalam letupan di Sri Lanka

Kebanyakan mereka bimbang dengan keselamatan masing-masing selepas menerima ancaman balas dendam daripada penduduk tempatan.

“Penduduk tempatan bertindak menyerang rumah kami. Kini kami tidak tahu ke mana arah tuju kami,” kata Adnan Ali ketika dia mahu menaiki bas disediakan pemimpin komuniti.

Kebanyakan penduduk Islam yang meninggalkan Negombo adalah daripada komuniti Ahmadi yang diusir dari Pakistan beberapa tahun lalu. Insiden serangan ganas itu menyebabkan mereka bakal kehilangan tempat tinggal sekali lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Letupan baharu di Sri Lanka

Farah Jameel berkata, dia diusir oleh tuan rumahnya selepas kejadian serangan dahsyat tersebut.

“Dia paksa saya keluar dari rumah dan pergi ke mana sahaja asalkan tidak lagi tinggal di situ,” ujarnya ketika berkumpul bersama penduduk Islam lain yang senasib dengannya di Masjid Ahmadiyya untuk menunggu bas yang akan membawa mereka ke tempat selamat.

Sementara itu, jurucakap balai polis Katara, Herath BSS Sisila Kumara memaklumkan kesemua 35 warga Pakistan tersebut telah diletakkan di bawah jagaan polis sebelum pemindahan itu dibuat.

“Kesemua mereka dihantar ke ‘rumah’ selamat. Hanya mereka yang boleh buat keputusan bila mahu pulang semula,” jelasnya.

Ketika ini, kira-kira 700 penduduk Islam dilaporkan bersembunyi selepas meninggalkan rumah masing-masing di Negombo.

ARTIKEL BERKAITAN: 13 suspek diberkas di Sri Lanka

"Seramai 500 penduduk Islam berlindung di sebuah bandar yang lokasinya tidak didedahkan," lapor akhbar di Britain, The Guardian. - Agensi


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia