Polis wanita patah jari terlanggar pintu kenderaan Grab

Polis menahan pemandu Grab kerana gagal memberikan kerjasama susulan kejadian yang menyebabkan kemalangan seorang anggota polis wanita di Jalan Changkat, Kuala Lumpur, tengah malam tadi.
Polis menahan pemandu Grab kerana gagal memberikan kerjasama susulan kejadian yang menyebabkan kemalangan seorang anggota polis wanita di Jalan Changkat, Kuala Lumpur, tengah malam tadi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang anggota polis cedera selepas terlanggar pintu sebuah kenderaan Grab yang berhenti secara mengejut ketika menurunkan penumpangnya di Jalan Changkat Raja Chulan, di sini, tengah malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah berkata, kejadian kira-kira jam 12.50 tengah malam itu berlaku ketika sepasukan polis bermotosikal keluar untuk menjalankan operasi pusat hiburan di kawasan Changkat, Bukit Bintang.

Menurutnya, ketika melalui hadapan sebuah bangunan di lokasi kejadian, sebuah kenderaan Grab jenis Perodua Alza telah berhenti secara mengejut sebelum seorang penumpang yang duduk di bahagian belakang membuka pintu.

"Salah seorang anggota polis wanita tidak dapat mengelak sebelum melanggar pintu belakang bahagian kiri kereta yang dibuka itu.

"Pelanggaran itu menyebabkan anggota terbabit terjatuh dan mengalami kecederaan patah jari tengah di tangan kanannya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemandu Grab, seorang lelaki telah keluar dari kereta lalu menjerit-jerit terhadap penumpangnya dan menyuruh penumpang tersebut membayar ganti rugi kereta, kerosakan motosikal dan juga kecederaan anggota polis tersebut.

Katanya, bagaimanapun pemandu Grab itu menafikan kesalahannya berhenti secara mengejut dan tidak memberi isyarat sebelum menurunkan penumpang.

"Polis cuba menenangkan keadaan dan pemandu terbabit diarah untuk memberikan kad pengenalan untuk rekod pemeriksaan, namun dia tidak memberikan kerjasama.

Artikel Berkaitan:

"Pemandu Grab berusia 40-an kemudian ditahan dan akan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya.

Tambahnya, anggota polis yang cedera itu telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.