Netizen teruja lihat gerhana matahari separa

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia berkongsi keterujaan menyaksikan gerhana matahari separa pada Khamis bersempena dengan fenomena gerhana matahari hibrid yang berlaku ke utara dari benua Australia.

Menurut pemilik akaun Facebook bernama Aqmal Farha Hiyya memaklumkan cuaca setakat ini berada dalam keadaan baik untuk melihat gerhana berkenaan dengan menggunakan teleskop.

"Menunggu gerhana. Alhamdulillah cuaca masih ok setakat ini walaupun berawan sedikit.

"Semoga dimudahkan segala urusan pencerap hari ini," ujarnya.

Bagi pemilik akaun Facebook bernama Hakim Darno berkongsikan gambar telur ayam 'boleh berdiri' ketika berlaku fenomena gerhana matari tersebut pada tengahari tadi.

"Subhanallah ! Antara kesan daripada gerhana matahari, telur berdiri," katanya.

Bagaimanapun, pemilik akaun Facebook bernama Omen Necrofis II berkata, "Dengan liputan awan tebal ketika ini mungkin agak sukar mencerap gerhana matahari yang sedang berlangsung ketika ini".

Selain itu, pemilik akaun Facebook bernama Abdullah Alif Dahlan tuurt berkongsikan gambar orang ramai di Tawau menyaksikan fenomena berkenaan dengan menggunakan cermin mata gerhana (eclipse glasses) dan teleskop.

Pada 12 April lepas, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memaklumkan Malaysia mengalami gerhana matahari separa pada 20 April bersempena dengan fenomena gerhana matahari hibrid yang berlaku ke utara dari benua Australia.

Orang ramai berpeluang menyaksikan fenomena itu bermula jam 11 pagi hingga selewat-lewatnya jam 2 petang bagi pemerhati di Sabah, manakala ia akan tamat lebih awal iaitu sekitar jam 1 tengah hari bagi pemerhati di Semenanjung.

Gerhana matahari separa adalah fenomena yang jarang berlaku dengan kali terakhir adalah pada 21 Jun 2020 dan ia hanya akan berlaku semula pada 2 Ogos 2027, iaitu sekitar empat tahun lagi.