Guardian anjur bengkel kebersihan, bantu kanak-kanak kurang mampu

Murid Sekolah Kebangsaan Shah Alam yang menyertai bengkel kebersihan anjuran Guardian.
Murid Sekolah Kebangsaan Shah Alam yang menyertai bengkel kebersihan anjuran Guardian.
A
A
A

KIRA-KIRA 200 murid Tahun Dua dan berkeperluan khas dari Sekolah Kebangsaan Shah Alam menyertai Bengkel Kebersihan Guardian Interaktif anjuran Guardian Malaysia (Guardian) baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Kesihatan dan Kecantikan Asia Tenggara, Guardian Health and Beauty Sdn Bhd, Soren Lauridsen berkata, bengkel tersebut merupakan inisiatif khidmat masyarakat syarikat berkenaan membantu kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah kekal bersih dan sihat.

“Di Guardian, kami percaya bahawa semua orang berhak untuk menjadi bersih dan sihat. Ia adalah hak asasi manusia. Hal ini tidak sepatutnya menjadi satu kemewahan atau keistimewaan, terutamanya bagi kanak-kanak.

“Kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah terdedah kepada serangan penyakit kerana keluarga mereka tidak mempunyai sumber untuk membeli produk kebersihan.

“Kami berasa senang hati dan bangga menyaksikan keseronokan pada wajah kanak-kanak ini ketika mempelajari tentang amalan kebersihan yang baik di bengkel kebersihan kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Soren menambah, murid sekolah tersebut turut menerima sebanyak 820 botol produk mandian Guardian secara percuma.

Dalam perkembangan lain, beliau menyatakan bahawa sebanyak 15 sen daripada pembelian produk mereka akan disumbangkan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik.

“Jadi kami berharap agar pelanggan kami dapat menyokong usaha khidmat masyarakat kami dengan membeli produk mandian badan Guardian,” ujarnya.