PRN: UMNO Negeri Sembilan dalam proses senarai pendek calon

Jalaluddin ditemu bual pemberita pada Majlis Tautan Kasih dan Berbuka Puasa Bersama Kepimpinan UMNO Bahagian Jelebu di Kompleks UMNO Bahagian Jelebu pada Selasa.
Jalaluddin ditemu bual pemberita pada Majlis Tautan Kasih dan Berbuka Puasa Bersama Kepimpinan UMNO Bahagian Jelebu di Kompleks UMNO Bahagian Jelebu pada Selasa.
A
A
A

JELEBU - UMNO Negeri Sembilan dalam proses menyenarai pendek calon-calonnya yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, calon-calon tersebut mestilah mereka yang mempunyai potensi tertinggi untuk menang.

"Calon-calon yang disenarai pendek dan ada markah tertinggi, kemungkinan diberi peluang.

"Bukannya kita ambil dia kerana dia ketua bahagian atau penyandang kerusi itu, tetapi kali ini saya memikirkan kemenangan dan tiada kompromi soal itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Tautan Kasih dan Berbuka Puasa Bersama Kepimpinan UMNO Bahagian Jelebu di Kompleks UMNO Bahagian Jelebu di Simpang Pertang di sini, pada Selasa.

Jalaluddin berkata, kesemua calon berkenaan akan melalui proses penilaian dan tapisan sebelum nama mereka disenarai pendek untuk diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk dibuat keputusan akhir.

Ahli Parlimen Jelebu itu berkata, UMNO juga bersedia memberikan salah satu kerusi daripada 15 kerusi yang dimenangi sebelum ini kepada MCA sekiranya parti itu didapati mempunyai peluang lebih tinggi untuk menang.

"Contohnya, kerusi DUN Pertang, jika setelah kajian dibuat UMNO tidak boleh menang dan MCA lebih berpeluang, maka kerusi itu akan diberi kepada MCA.

"Jika MCA boleh menang kenapa tidak kita beri kerusi itu kepada mereka? Saya akan beri pertimbangan sebaik mungkin, yang penting mereka mesti boleh menang. Itu jadi kriteria penting," katanya.

Ujarnya, beliau telah pun berjumpa dengan pimpinan MCA dan MIC menerangkan perkara itu dan apa yang penting masing-masing perlu menerima sebarang kemungkinan yang berlaku.

Dalam pada itu beliau berkata, pemimpin BN dan PH perlu menjaga sensitiviti ahli parti dan penyokong dengan tidak mengeluarkan kenyataan atau melakukan tindak tanduk yang boleh menyentuh perasaan antara satu sama lain.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, daripada 36 kerusi DUN, 16 kerusi dimenangi BN iaitu 15 daripadanya milik UMNO manakala satu milik MIC iaitu Jeram Padang.