Aidilfitri: AADK benarkan lawatan keluarga di Puspen

AADK membenarkan sesi lawatan khas keluarga klien di semua Puspen sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bermula 25 April hingga 1 Mei ini. - Gambar hiasan
AADK membenarkan sesi lawatan khas keluarga klien di semua Puspen sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bermula 25 April hingga 1 Mei ini. - Gambar hiasan
A
A
A

BANGI - Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) membenarkan sesi lawatan khas keluarga klien di semua Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bermula 25 April hingga 1 Mei ini.

AADK menerusi kenyataan pada Selasa berkata, sesi lawatan itu bertujuan merapatkan hubungan antara klien dengan keluarga.

"Selain itu, klien boleh mendapatkan sokongan moral dan emosi serta keluarga boleh melihat sendiri perkembangan kepulihan klien yang mengikuti program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) AADK," katanya.

Menurut kenyataan itu, lawatan keluarga juga memberi ruang dan peluang antara keluarga atau penjaga dan klien untuk bertemu mesra serta sebagai pendekatan teraputik dalam menyokong kepulihan klien.

"Sehubungan itu, AADK meminta keluarga atau penjaga yang ingin menyertai sesi lawatan ini untuk menghubungi Pegawai Pemulihan di Puspen masing-masing menerusi panggilan telefon; mesej pesanan ringkas (SMS), pesanan aplikasi WhatsApp; surat atau e-mel kepada pegawai berkenaan.

"Orang ramai juga boleh menghubungi Puspen berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan sesi lawatan keluarga ini atau menghubungi Talian Hotline Helo AADK di talian 1-800-22-AADK (2235) atau 019-626 2233 (WhatsApp) bagi mendapatkan khidmat nasihat atau aduan berkaitan permasalahan dadah," katanya.