'Teringat kenangan berbuka di Madinah'

Suasana Iftar ala Madinah@ Karangkraf. Gambar kecil dari kiri: Nur Arina, Nur Amira, Azmi, Megat Shazrul
Suasana Iftar ala Madinah@ Karangkraf. Gambar kecil dari kiri: Nur Arina, Nur Amira, Azmi, Megat Shazrul
A
A
A

SHAH ALAM - Suasana santai dan terbuka menarik minat orang ramai untuk menyertai program Iftar ala Madinah@ Karangkraf selain menikmati juadah enak bersama-sama keluarga serta rakan-rakan.

Rata-rata pengunjung mengakui suasana iftar itu bukan sahaja santai dan menyeronokkan, tetapi juga dapat merapatkan ukhuwah sesama insan yang hadir.

Pesara, Azmi Musa, 70, berkata, suasana berbuka yang dianjurkan mengimbau kembali kenangan berbuka puasa di Madinah dan ia merupakan kenangan yang cukup bermakna.

“Ini pertama kali saya datang ke sini bersama isteri dan anak-anak saya seramai 10 orang.

“Suasana di sini nampak meriah dan ini mengingatkan saya sewaktu berbuka di Madinah bagi mengerjakan umrah,” ulasnya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, kerani, Nur Arina Mohd Rafii, 26, berkata, kunjungan kali ketiga di majlis berbuka puasa itu antara yang dinantikan kerana dapat berkumpul bersama-sama rakan.

Tambahnya, hidangan juadah cukup lazat dan berbeza-beza setiap kali dia berkunjung ke program iftar tersebut.

“Ini kali ketiga saya datang ke sini kerana suasana berbuka yang santai dan sangat tenang dengan kehadiran orang ramai.

“Semua diatur dengan baik dan makanan yang disediakan juga amat sedap,” ujarnya.

Jurujual, Nur Amira Mohd Rafii, 31, berpendapat, suasana yang selesa faktor dia tertarik untuk hadir.

Menurutnya, aktiviti yang disediakan cukup menarik dan memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung selain dapat berbuka puasa bersama serta beramal melalui program infak.

“Ini kali pertama saya datang dan dapat mempromosikan lokasi ini sebagai tempat pilihan untuk berbuka puasa beramai-ramai bersama keluarga serta sahabat.

“Program seperti ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim sesama insan dan juga saya rasa seronok dapat mengikuti aktiviti yang disediakan pada hari ini,” jelasnya.

Bagi penjawat awam, Megat Shazrul, 27, berkata, suasana dan kemeriahan iftar yang berbeza sangat mengujakan bagi pengunjung kali pertama.

“Konsep iftar dalam suasana terbuka akan dapat mengeratkan lagi hubungan sesama masyarakat tanpa mengira latar belakang mereka,” katanya.