600,000 kunjungi FRP 2023, tawar diskaun sehingga 50 peratus

FRP 2023 dilanjutkan lagi waktu operasinya sehingga jam 5 pagi untuk 10 hari terakhir Ramadan sehingga menjelang malam Hari Raya Aidilfitri.
FRP 2023 dilanjutkan lagi waktu operasinya sehingga jam 5 pagi untuk 10 hari terakhir Ramadan sehingga menjelang malam Hari Raya Aidilfitri.
A
A
A

PUTRAJAYA – Festival Ramadan Putrajaya 2023 (FRP 2023) bukan sahaja mencatatkan sejarah sebagai festival Ramadan terbesar malah berjaya menarik hampir 600,000 pengunjung sejak dilancarkan pada 22 Mac lalu.

Penganjur FRP 2023, Shahrul Musa berkata, jumlah yang dicatatkan pada pertengahan Ramadan lalu itu cukup membanggakan kerana pihaknya sekadar menetapkan sasaran sebanyak setengah juta pengunjung untuk tempoh sebulan.

Beliau yang juga Pengarah Ingenious Creative Lab (M) Sdn. Bhd berkata, FRP 2023 terus mendapat sambutan yang sangat menggalakkan terutama pada Jumaat dan hujung minggu.

Menurutnya, pengunjung yang hadir bukan sahaja warga Wilayah Persekutuan Putrajaya, malah datang dari luar pusat pentadbiran negara itu.

“Pengunjung seakan-akan tidak putus-putus datang dari pelbagai kawasan terutama pada saat akhir Ramadan bagi mendapatkan kelengkapan hari raya.

"FRP 2023 melibatkan empat komponen utama iaitu Bazar Ramadan, Anjung Syawal, Kiblat Walk dan Laman Iftar.

"Ia turut melibatkan beberapa lokasi utama iaitu Dataran Putrajaya Presint 3, Kompleks Perbadanan Putrajaya serta lima lokasi bazar Ramadan Putrajaya,” katanya pada Isnin.

Seramai 20 anak yatim dari Rumah Bakti Nur Ain di Bangi diraikan pada penganjuran FRP 2023 dan mendapat sumbangan baju raya daripada dua vendor, Zareth Zehra serta Elrah.
Seramai 20 anak yatim dari Rumah Bakti Nur Ain di Bangi diraikan pada penganjuran FRP 2023 dan mendapat sumbangan baju raya daripada dua vendor, Zareth Zehra serta Elrah.

Dalam pada itu, Shahrul berkata, seramai 20 anak yatim dari Rumah Bakti Nur Ain di Bangi, Selangor diraikan sempena penganjuran FRP 2023.

Katanya, menerusi kerjasama dua vendor, Zareth Zehra dan Elrah, FRP 2023 telah menyumbang baju Melayu dan baju kurung kepada anak yatim tersebut.

"Sedikit sumbangan berupa duit raya diberikan kepada anak-anak ini bagi memberi keceriaan kepada mereka menyambut Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi," ujarnya.

Tambah Shahrul, ekoran sambutan yang sangat menggalakkan, FRP 2023 telah melanjutkan lagi operasinya sehingga jam 5 pagi untuk 10 hari terakhir Ramadan sehingga menjelang malam raya.

Katanya, waktu operasi baharu itu dilaksanakan bagi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan kelengkapan hari raya pada saat-saat akhir.

"Sebelum ini, waktu operasi bermula jam 12.00 tengah hari hingga 12 tengah malam.

"Malah dengan lanjutan operasi ini, ia diharap dapat memberi peluang kepada 250 vendor FRP 2023 menawarkan diskaun atau harga berpatutan kepada pengunjung," jelasnya.

Tambahnya, menjelang tiga hari terakhir Ramadan, vendor yang mengambil bahagian bakal menawarkan diskaun sehingga 50 peratus menerusi promosi 'happy hour'.

Menurutnya, seramai 48 usahawan dari Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta sebanyak 14 usahawan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terlibat menjayakan FRP 2023.

Katanya, menyemarakkan lagi semangat Ramadan bersama FRP 2023, antara selebriti yang memeriahkan festival itu adalah Mawi, Rayme Zainal, Saharul Ridzwan, Adira Suhaimi, Asfnan Shah, Afzan, Shahz Jaszle dan Elly Ariffin.

"Apa yang menarik, pengunjung boleh mengambil bahagian dalam pertandingan cabutan bertuah menawarkan sebuah motosikal berharga RM10,000 apabila mereka berbelanja sebanyak RM100 dalam satu resit," ujarnya.