Syarikat peruncitan jual telur 70 sen sebiji dihadap ke mahkamah

Wanita yang mewakili syarikat berkenaan (tengah) tiba di Mahkamah Sesyen pada Isnin.
Wanita yang mewakili syarikat berkenaan (tengah) tiba di Mahkamah Sesyen pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebuah syarikat peruncitan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Isnin atas atas pertuduhan menjual telur melebihi harga maksimum yang telah ditetapkan di Bandar Dato Onn, 2 Januari lalu.

Pengakuan itu dibuat seorang wanita berusia 26 tahun yang juga pengarah syarikat berkenaan di hadapan Hakim Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Berdasarkan pertuduhan, syarikat itu didapati menjual barangan terkawal iaitu telur ayam gred B dengan harga 70 sen sebiji yang melebihi harga maksimum runcit ditetapkan iaitu 43 sen sebiji.

Ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 18 (a) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 bagi kesalahan pertama dan didenda tidak melebihi RM1 juta bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhamad Sabiq Muhamad Subri dan Raja Nor Iklas Raja Ariff, manakala syarikat peruncitan berkenaan diwakili peguam, Farah Wahidah Mohd Sharip.

Hakim menetapkan 18 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes termasuk penyerahan dokumen.