JKNT keluar lima kompaun dalam Ops Pelabelan

Dr Kasemani (kiri) melihat pelabelan produk ketika membuat pemeriksaan di sebuah pasaraya di sini pada Ahad.
Dr Kasemani (kiri) melihat pelabelan produk ketika membuat pemeriksaan di sebuah pasaraya di sini pada Ahad.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengeluarkan lima kompaun berjumlah RM17,000 kepada pemilik premis kerana menjual makanan sudah tamat tempoh dan bungkusan rosak.

Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, kesalahan itu dikesan dalam Operasi Pelabelan Sempena Aidilfitri yang dijalankan bermula 10 April lalu di premis makanan seperti pasaraya, pasar mini dan kedai runcit.

Menurutnya, selepas enam hari operasi tersebut dijalankan, sebanyak 21 premis makanan telah diperiksa dan 4,343 produk dipantau.

"Antara kesalahan yang berjaya dikesan adalah penjualan produk makanan dalam tin berkarat, kemek dan kembung serta produk tamat tarikh luput.

"Oleh itu, kita mengeluarkan kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan menyita sebanyak 185 produk bernilai lebih RM1,000," katanya selepas membuat pemeriksaan di sebuah pasaraya dalam operasi itu pada Ahad.

Dr Kasemani berkata, operasi dijalankan untuk memastikan semua produk makanan yang dijual di pasaran mematuhi aspek pelabelan makanan pembungkusan sebagaimana diperuntukkan dalam Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Beliau turut meminta orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika membeli sebarang produk makanan terutama produk yang dijual pada harga promosi bagi mengelak pembelian produk sudah rosak dan tamat tempoh.

"Musim perayaan sekarang banyak dijual hamper raya, pastikan tarikh luput produk tersebut masih sah dan keadaan pembungkusan masih elok, tidak kemek, tidak kembung atau berkarat.

“Orang ramai juga diseru membeli produk yang mempunyai logo jaminan keselamatan makanan seperti sijil Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP), pengiktirafan Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP) dan sijil Halal," katanya.