Jangan seronok sangat belikan anak mercun

Jari putus, tangan cedera parah, mata hampir buta adalah antara senario yang menghiasi akhbar atau pun berita online.
Jari putus, tangan cedera parah, mata hampir buta adalah antara senario yang menghiasi akhbar atau pun berita online.
A
A
A

DAM dam dum... Bunyi mercun...

Diam tak diam, dah 26 hari kita berpuasa. Aidilfitri bakal menjengah tiga atau empat hari sahaja lagi. Baju raya dah beli ke tu? Harapnya beli sekadar perlu dan tidak membazir.

Kemeriahan Aidilfitri bukan sahaja dirasai dengan tukar langsir mahupun sofa baharu. Namun ada yang memilih untuk bermain mercun dan bunga api.

Lagi meriah! Pilih pula mercun yang boleh berlawan dengan kampung sebelah. Cara keseronokan sambut kedatangan Aidilfitri pilihan bagi sesetengah orang.

Nak pula gerai jual mercun dan bunga api senang jumpa. Bukan payah macam dulu dah. Masuk simpang ni, ada gerai jual mercun, keluar simpang ni pun ada.

Kalau kumpul gerai-gerai ni dah boleh buat satu bazar yang hanya menjual mercun dan bunga api.

Betapa ramai yang meniaga bahan itu sejak kerajaan menarik balik larangan penjualan mercun dan bunga api dengan membenarkan perniagaan tersebut dilakukan secara terbuka selepas 25 tahun ia diharamkan.

Perniagaan itu semakin mendapat tempat dan jualan mercun serta bunga api menjadi rancak di saat menjelangnya Aidilfitri ini. Malah di sesetengah kawasan, ada segelintir peniaga memperoleh jualan RM2,000 sehari dan ada juga yang untung sehingga RM500 sehari. Lumayan!

Oleh kerana mercun mudah didapati sekarang ini, para ibu bapa pun tidak ketinggalan membeli mercun dan bunga api untuk anak-anak. Ada anak yang lahir masa 'era' PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) hari tu tak pernah pegang pun bunga api.

Diajarnya main bunga api. Dah macam kera dapat bunga. Seronok bukan kepalang. Bapa pun girang. Hingga lupa silap langkah sikit, padah yang menimpa.

Sehingga kini, dianggarkan lima kanak-kanak cedera akibat bermain mercun melibatkan kes di Kedah dan Terengganu. Jadi tolonglah pantau anak main mercun dan bunga api. Jangan pandai beli saja!

Kesalahan pengabaian

Ingat ya para ibu bapa, tindakan boleh dikenakan terhadap anda sekiranya anak cedera akibat bermain mercun atas kesalahan pengabaian kanak-kanak.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu, pihaknya mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa memantau anak-anak yang bergembira bermain mercun atau bunga api kerana kita tidak mahu perayaan berakhir dengan kesedihan.

“Sekiranya berlaku, jika di peringkat kementerian boleh ditafsirkan sebagai pengabaian yang boleh diambil tindakan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001,” jelas Aiman Athirah.

Oleh yang demikian, walaupun kegiatan menjual mercun dan bunga api telah dibenarkan, itu bukan alasan untuk ibu bapa membenarkan anak-anak bermain tanpa pemantauan orang dewasa.

Memang seronok bermain mercun dan bunga api. Nak pula bukan selalu kita dapat bermain, mendengar bunyi dentuman mercun serta melihat keindahan bunga api yang bermacam warna.

Saban tahun kita baca berita mengenai kes cedera kerana bermain mercun, tak kira sama ada mercun yang diubah suai atau tidak.

Jari putus, tangan cedera parah, mata hampir buta adalah antara senario yang menghiasi akhbar atau pun berita online.

Kenapa itu masih belum cukup untuk kita sedar betapa kita pun sebenarnya berisiko untuk menerima nasib serupa?

Apakah kita mahu berada dalam statistik itu juga. Cuba tanya mangsa yang hilang anggota badan kerana mercun. Sudah pasti jawapan mereka adalah menyesal kerana menurut hawa nafsu. Duit habis, sekarang cacat pula.

Ada yang beri hujah ia hanya sambutan setahun sekali. Tapi berhati-hatilah, sentiasa beringat malang tidak berbau. Silap langkah, menyesal tidak berguna lagi.

Salam Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

*Nurhafiza Hasan ialah Penyunting Sinar Harian