Gitaris The Script Mark Sheehan meninggal dunia

Sheehan membentuk kumpulan itu pada tahun 2001 bersama vokalis Danny O'Donoghue dan pemain dram Glen Power. - Gambar/ IG @marksheehan._
Sheehan membentuk kumpulan itu pada tahun 2001 bersama vokalis Danny O'Donoghue dan pemain dram Glen Power. - Gambar/ IG @marksheehan._
A
A
A

PENGASAS bersama dan gitaris kumpulan rock Ireland The Script, Mark Sheehan, meninggal dunia pada usia 46 tahun.

Beliau meninggal dunia di hospital pada hari Jumaat selepas 'sakit yang tidak lama', umum kumpulan berkenaan yang tidak mendedahkan penyakitnya, namun meminta semua peminat menghormati privasi keluarga buat masa ini.

Sheehan membentuk kumpulan itu pada tahun 2001 bersama vokalis Danny O'Donoghue dan pemain dram Glen Power.

Kenyataan di laman sosial kumpulan tersebut menyatakan bahawa Sheehan adalah "suami, bapa, abang, rakan kumpulan dan kawan yang sangat dikasihi".

Presiden Ireland, Michael D Higgins berkata Sheehan adalah contoh "luar biasa" kejayaan muzik Ireland di peringkat dunia.

"Ini menunjukkan kecemerlangan Mark dan rakan kumpulannya dalam The Script mencapai kejayaan di seluruh dunia, termasuk enam album nombor satu di UK dan album nombor tiga di Amerika Syarikat - pencapaian yang benar-benar luar biasa," katanya dilapor BBC.

Rakan-rakan Sheehan dalam industri hiburan turut mengucapkan takziah dan berkongsi kenangan baik bersama beliau.

Dalam satu kenyataan di Instagram, penerbit Ireland Laura Whitmore berkata: "Memikirkan anda semua pada masa ini, Mark adalah salah seorang lelaki yang paling baik dan berbakat yang pernah anda jumpai."

Kumpulan rock Ireland Kodaline juga menyampaikan penghormatan, dengan memuat naik di Twitter: "Sangat sedih mendengar tentang kematian Mark Sheehan."

Dalam penghormatan di Instagram, duo pop Ireland Jedward berkata: "Semua orang dalam industri muzik Ireland dan seluruh dunia bersedih atas kehilangan anda. RIP Mark, seorang pemuzik yang sangat berbakat daripada The Script, salah satu kumpulan Ireland yang paling ikonik dalam generasi kita."