Dua budak lelaki lemas ketika mandi sungai

Dua budak lelaki lemas semasa mandi di Sungai Pulau Jering, Kampung Bukit Tunggal, Segamat pada Jumaat.
Dua budak lelaki lemas semasa mandi di Sungai Pulau Jering, Kampung Bukit Tunggal, Segamat pada Jumaat.
A
A
A

SEGAMAT - Dua budak lelaki ditemukan lemas ketika mandi di Sungai Pulau Jering, Kampung Bukit Tunggal di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, dua mangsa berkenaan ialah Muhammad Khalifi Kamaruzaman, 13, dan Ahmad Muhammad Ibnu Hermee, 12.

Menurut beliau, pihak polis menerima laporan daripada keluarga mangsa pada jam 5.10 petang.

“Kedua-dua mangsa disedari lemas oleh salah seorang bapa kanak-kanak tersebut yang kebetulan melalui kawasan berkenaan sebelum meminta bantuan orang awam.

“Dengan bantuan penduduk kampung, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dari sungai dalam keadaan tidak sedarkan diri. Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di sebuah klinik swasta di sini,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Ahmad Zamry berkata, mangsa masing-masing merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tunggal dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jementah.

Katanya, bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Daerah Segamat (HDS) pada Sabtu bagi mengenal pasti punca kematian.

"Tiada sebarang unsur jenayah ke atas kematian kedua-dua mangsa.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.