KPN nasihat pegawai, anggota jangan tinggal solat

Acryl Sani memberikan nasihat kepada petugas Unit Kereta Peronda dan Unit Rondaan Bermotosikal ketika hadir Program Singgah Sahur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Sabtu.
Acryl Sani memberikan nasihat kepada petugas Unit Kereta Peronda dan Unit Rondaan Bermotosikal ketika hadir Program Singgah Sahur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - "Jangan sesekali tinggal solat fardu," itu ingatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkaitan kepentingan menjaga solat sebagai tiang agama.

Acryl Sani berkata, kewajipan solat fardu perlu dilaksanakan walau di mana berada.

"Paling mustahak, bila masuk waktu solat, kita kena solat, berhentilah di mana-mana masjid atau surau.

"Jangan sekali abaikannya, sebagaimana kita makan siang dan malam, itulah juga solat, penting untuk kita menjaganya, jangan sesekali tinggal," katanya.

Klip video memaparkan Acryl Sani memberikan nasihat kepada petugas Unit Kereta Peronda dan Unit Rondaan Bermotosikal itu dikongsi di halaman Facebook Rasmi Polis Diraja Malaysia.

Nasihat tersebut diberikan ketika beliau hadir Program Singgah Sahur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Sabtu.

Menurut hantaran tersebut, ingatan yang diberikan beliau ibarat ayah menasihati anak-anaknya.

Perkongsian di halaman Facebook rasmi PDRM itu turut menerima komen dan sokongan daripada orang ramai yang rata-ratanya memuji nasihat yang diberikan Ketua Polis Negara kepada anggota dan pegawainya itu.