FSA2: KWSP terima lebih 74,000 permohonan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan sebanyak 74,392 permohonan telah diterima di bawah Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) setakat Jumaat dengan 34,643 daripadanya adalah permohonan yang layak berjumlah RM722 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, FSA2 disokong institusi perbankan MBSB Bank melalui kemudahan patuh Syariah Ihsan-i yang diperkenalkan bermula 7 April lalu dan Bank Simpanan Nasional (BSN) melalui BSN MyRinggit Insan-i bermula 14 April 2023.

"KWSP menjangkakan jumlah permohonan untuk FSA2 akan terus meningkat, lebih-lebih lagi kini BSN melancarkan BSN MyRinggit Insan-i hari ini.

"Kami berbesar hati kerana kedua-dua MBSB Bank dan BSN menyokong FSA 2, yang kami percaya akan membantu ahli yang mempunyai isu kecairan tunai untuk mendapatkan pembiayaan peribadi tanpa impak yang serius terhadap simpanan persaraan mereka," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

FSA2 disediakan oleh KWSP bagi membolehkan ahlinya membuat permohonan awal bagi Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau Umur 55 Tahun dalam mendapatkan pembiayaan peribadi daripada MBSB Bank dan BSN.

Permohonan akan dibuka selama setahun, membolehkan ahli KWSP mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat permohonan awal bagi Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau Umur 55 Tahun.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, KWSP difahamkan terdapat kekeliruan di kalangan sebilangan ahli KWSP berhubung keperluan pembayaran balik bulanan pembiayaan peribadi itu.

"Kami ingin menjelaskan bahawa fasiliti ini disasarkan kepada ahli KWSP yang mempunyai simpanan dalam Akaun 2 dan disokong oleh pendapatan yang berpatutan untuk memastikan mereka mampu membiayai pembiayaan peribadi tersebut dan komited kepada pembayaran balik bulanan tanpa menjejaskan kecukupan dan jaminan pendapatan persaraan mereka.

"Perlu diingatkan bahawa bayaran balik bulanan adalah perlu untuk memastikan pinjaman dibayar tepat pada masanya,” tambah beliau.

Menurutnya, jumlah kelayakan untuk pembiayaan peribadi tersebut adalah berdasarkan jumlah simpanan dalam Akaun 2, dengan jumlah pembiayaan minimum sebanyak RM3,000 dan maksimum RM50,000.

Kata beliau, ahli boleh membuat permohonan pembiayaan peribadi secara dalam talian melalui MBSB Bank atau BSN.

"Setelah pembiayaan peribadi diluluskan, ahli boleh mengemukakan permohonan awal bagi Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun kepada KWSP berdasarkan jumlah pembiayaan yang diluluskan.

"Di bawah Fasa 1, ahli yang layak berumur 40 tahun ke atas boleh memohon, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan oleh pihak bank.

"Amaun pengeluaran yang tertakluk kepada jumlah dalam Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun akan dibuat ke akaun bank ahli apabila ahli mencapai umur antara 50 hingga 55 tahun mengikut pilihan umur pengeluaran ahli," jelasnya.

Amir Hamzah memberitahu, ahli boleh merujuk pautan http://fsa2.kwsp.gov.my/ untuk menyemak kelayakan mereka bagi

permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun dan jumlah yang boleh dipohon di bawah fasiliti tersebut.

Selain itu, ujarnya, soalan lazim berkaitan fasiliti berkenaan juga terdapat di laman web untuk rujukan ahli.

"Ahli disarankan untuk mendaftar atau mengemas kini nombor telefon bimbit mereka melalui Self-Service Terminal (SST) yang terdapat di mana-mana cawangan KWSP bagi tujuan penerimaan Transaction Authorisation Code (TAC) untuk pengesahan identiti ketika membuat transaksi.

"Untuk maklumat lanjut mengenai Fasiliti Sokongan Akaun 2, layari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my, atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-8922 6000," katanya lagi.