Sokong BN, PH jadi pembangkang kuat di DUN Kelantan

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

KOTA BHARU - Rakyat perlu berani dengan memberi lebih banyak mandat kepada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk menjadi pembangkang yang kuat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kehadiran pembangkang yang kuat itu bagi memastikan kerajaan negeri tidak lalai dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pemerintah.

"Pada masa sama, kami (BN dan PH) mahu melakukan tugas semak dan imbang dengan lebih berkesan ke atas pentadbiran Kelantan selepas ini.

"Jadi kita mengharapkan rakyat dapat membuat keputusan bijak dengan memberi seberapa banyak peluang kepada BN dan PH," katanya semasa sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Sebelum itu beliau meraikan pengamal media pada Majlis Make Colek Bersama Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi).

Asyraf Wajdi berkata, rayuan yang dibuat oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar rakyat Kelantan melakukan perubahan perlu dilihat secara tuntas seluruh pengundi.

Ujarnya, rayuan tersebut dibuat bagi mengubah dan membela nasib rakyat negeri ini dengan lebih baik.

"Jika tidak mahu BN dan PH mengambil alih kerajaan negeri tidak mengapa.

"Tetapi biarlah kami jadi pembangkang yang kuat untuk membela nasib rakyat," katanya.

Sinar Harian pada 9 April lalu melaporkan, rakyat negeri ini diingatkan jangan terlalu taasub membuat keputusan pada PRN tidak lama lagi dengan memilih kerajaan yang gagal menjaga kebajikan mereka sebaik sahaja diberi mandat mentadbir.

Ahmad Zahid berkata, tindakan itu boleh memberikan kesan jangka panjang jika mereka memilih kepimpinan tidak sealiran dengan peringkat pusat.

"Oleh itu, UMNO sekali lagi menawarkan pada PRN nanti...beri peluang kepada kerajaan di Putrajaya yang membentuk gabungan bersama parti-parti sedia ada khususnya UMNO dan BN untuk mentadbir.

"Hal ini bagi memberi ruang kepada kita membuktikan kemampuan melakukan perubahan demi rakyat Kelantan," katanya.