Kim Swee tuntut Sabah kembali pamer rentak kemenangan

Sabah menyingkap pusingan 16 Piala FA berdepan Kelantan United di Likas. - Foto: Facebook Sabah Football Club.
Sabah menyingkap pusingan 16 Piala FA berdepan Kelantan United di Likas. - Foto: Facebook Sabah Football Club.
A
A
A

KEMENANGAN Sabah FC ke atas Kelantan United dalam perlawanan Liga Super sebelum ini tidak boleh dijadikan sandaran apabila kedua-dua pasukan kembali berentap dalam saingan Pusingan 16 Piala FA di Stadium Likas pada Sabtu.

Sebaliknya pengendali Sabah FC, Datuk Datuk Ong Kim Swee menuntut para pemain The Rhinos untuk kembali mempamerkan rentak kemenangan yang kali terakhir diraih pada 17 Mac lalu.

“Sejujurnya kemenangan ke atas Kelantan United sebelum ini sudah lama berlalu dan berdasarkan prestasi semasa dipamerkan pemain Sabah FC dalam tiga perlawanan terakhir sesuatu perlu dilakukan untuk mengembalikan semula rentak kemenangan pasukan.

“Realitinya pasukan Sabah belum lagi kembali ke prestasi terbaik seperti ketika saingan awal liga biarpun berjaya menyaingi Negeri Sembilan dalam perlawanan terakhir sebelum ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Sebagai rekod, Sabah melakar kemenangan bergaya 3-1 ketika menewaskan Kelantan United dalam perlawanan Liga Super di Stadium Likas pada 1 Mac lalu.

Catatan kemenangan terakhir Sabah sebelum ini adalah ketika mengalahkan Penang FC pada 17 Mac lalu sebelum rekod tanpa kalah berkubur di Stadium Sultan Ibrahim setelah dibelasah 0-4 penyandang juara sembilan kali berturut-turut Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 31 Mac lalu.

The Rhinos selepas itu dijinakkan 0-2 ketika berdepan Kuala Lumpur City FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras pada 5 April sebelum berkongsi mata semasa kunjungan menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi 10 April.

Dalam masa sama Kim Swee turut mengingatkan pemain-pemain Sabah untuk tidak memandang rendah keupayaan The Green Deers walaupun kelab pantai timur itu berada di kedudukan tercorot Liga Super.

Malah tegas Kim Swee, saingan Piala FA amat berbeza dengan saingan Liga Super apabila menyaksikan pelbagai kejutan berlaku terutamanya dalam saingan kalah mati.

“Pemain Sabah harus memanfaatkan sepenuhnya kelebihan beraksi di laman sendiri seterusnya menukar landskap dari tiga perlawanan sebelum ini daripada kalah, seri kepada kemenangan.

“Sejujurnya adalah penting untuk Sabah meraih kemenangan berdepan Kelantan United bukan sahaja untuk layak ke pusingan seterusnya tetapi juga bagi bentuk semula keyakinan dalam mengharungi saingan Liga Super,” katanya.

PIALA FA 2023

PUSINGAN 16 TERBAIK

SABTU (15 APRIL)

Kuching City FC lwn Penang FC

(Stdm Negeri, 9.15 malam)

Sabah FC lwn Kelantan United

(Stdm Likas, 9.15 malam)

Negeri Sembilan lwn PIB Shah Alam

(Stdm Tuanku Abdul Rahman, 10 malam)

Selangor FC lwn Sri Pahang FC

(Stdm Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 10 malam)