Saya sayang Janna tapi...

Sheila Rusly & Janna Nick. - Foto ZAHID IZZANI
Sheila Rusly & Janna Nick. - Foto ZAHID IZZANI
A
A
A

PENERBIT dan pelakon, Sheila Rusly mengakui dia sudah pun memaafkan pelakon yang juga anak didiknya, Janna Nick.

Menurut Sheila, 48, Janna telah menghubunginya dan mengakui kesilapan serta memohon maaf.

"Dia dah tahu apa salahnya, dia pun dah menyesal dan minta maaf. Sebagai manusia, kita kena maafkan orang yang seikhlas hati memohon maaf.

"Saya dah maafkan dia, tapi sukar untuk saya hadam apa yang dia buat pada saya dan keluarga," jelasnya ketika ditemui di majlis pertunjukan fesyen Floraya Ariani 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam.

Sebak sebaik berbicara lanjut mengenai pelakon berbakat besar berusia 24 tahun itu, Sheila bagaimanapun enggan orang lain menganggap tangisannya sebagai satu lakonan.

"Saya sayang dia sebenarnya tapi, terlalu peribadi untuk saya kongsikan. Kalau saya tak sayang dia, dia tak kan berada di mana tempat dia berada sekarang.

"Tapi tak apa, dia selesa ditempat dia sekarang. Kepak dia pun dah kembang dengan luas untuk dia terbang jauh.

"Saya, suami dan anak-anak sentiasa doakan kejayaannya," ujarnya sambil menyeka air mata.

Artikel Berkaitan:

Malah ibu kepada dua orang cahaya mata ini sempat menitipkan pesanan buat bintang utama drama Leftenan Zana itu.

"Mama dah maafkan Janna, tak apalah manusia memang akan buat silap dan kadang-kala ada satu fasa di mana kita lupa di mana bermula.

"Tak apa, awak masih muda, perjalanan masih jauh. Apa yang terjadi, ambil sebagai iktibar. Jadi artis yang membanggakan peminat.

"Fokus, ikhlas dan jujur dengan apa yang dilakukan. Saya akan sentiasa doakan kejayaan dia, insya-Allah," tuturnya.

Kemelut antara Sheila dan Janna mula dapat dihidu selepas keduanya tidak lagi berkongsi gambar bersama di Instagram seperti kebiasaan.