Kontraktor guna gelaran 'Datuk' palsu didakwa

Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang pada Jumaat atas pertuduhan menyerahkan kad perniagaannya tertera gelaran ‘Datuk’, yang tidak diiktiraf kepada seorang wanita, empat tahun lepas. - Gambar hiasan
Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang pada Jumaat atas pertuduhan menyerahkan kad perniagaannya tertera gelaran ‘Datuk’, yang tidak diiktiraf kepada seorang wanita, empat tahun lepas. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini pada Jumaat atas pertuduhan menyerahkan kad perniagaannya tertera gelaran ‘Datuk’, yang tidak diiktiraf kepada seorang wanita, empat tahun lepas.

Mohamed Rafi Mohamed Hanifa, 37, didakwa menyerahkan kad perniagaan tertera nama ‘Datuk Mohamed Rafi Mohamed Hanifa’ kepada wanita itu, yang mempamerkan jata negara dan darjah kebesaran, yang gelaran ‘Datuk’ itu tidak diiktiraf.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah firma guaman di Ampang Jaya, pada 10 pagi, 5 Oktober 2019, mengikut Seksyen 3 (1)(a) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 5 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Annur Athirah Amran menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Uma Gunaseelan yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya penanggung tunggal keluarga dan tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri.

Majistret Amalina Basirah Md Top membenarkan jaminan RM5,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Mei depan untuk sebutan semula kes. - Bernama