‘Kawal nafsu, elak pembaziran’

Iftar ala Madinah @Karangkraf akan berlangsung sehingga 18 April 2023.
Iftar ala Madinah @Karangkraf akan berlangsung sehingga 18 April 2023.
A
A
A

SHAH ALAM - Iftar ala Madinah @Karangkraf yang menawarkan pek makanan secara percuma untuk berbuka puasa mampu mengelakkan pengunjungnya daripada melakukan pembaziran dari segi wang dan makanan.

Rata-rata pengunjung yang sebelum ini pergi ke bazar Ramadan mengakui bahawa mereka tidak dapat mengawal nafsu untuk membeli pelbagai aneka makanan.

Nurlina
Nurlina

Peniaga makanan, Nurlina Abdullah, 42, berkata, meskipun dia memasak juadah berbuka untuk keluarganya, jumlah keseluruhan yang dibelanjakan di bazar Ramadan adalah sehingga RM50.

“Saya habis dalam RM50 sehari untuk beli kuih dan air sahaja. Itu baru sehari. Belum ditambah lagi dengan yang saya pergi sebelum-sebelum ini. Memang banyak duit telah habis di bazar Ramadan sahaja.

Pelajar universiti turut tidak melepaskan peluang untuk berbuka puasa di Iftar ala Madinah @Karangkraf.
Pelajar universiti turut tidak melepaskan peluang untuk berbuka puasa di Iftar ala Madinah @Karangkraf.

“Jadi pada saya, berbuka puasa di Karangkraf ini sangat menjimatkan. Kita tidak perlu pergi ke bazar untuk membeli juadah berbuka puasa kerana semua telah disediakan. Ditambah lagi dengan barangan percuma yang diberi oleh pelbagai syarikat.

“Sememangnya mampu untuk mengawal nafsu daripada berlaku pembaziran duit. Semua pun mengetahui bahawa membazir adalah tidak baik, dan diamalkan oleh syaitan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.

Turut memberi pandangan sama, pekerja swasta, Mohd Razif bin Md Salam, 39, meluahkan rasa syukur terhadap Kumpulan Karangkraf kerana menganjurkan perkara tersebut.

Mohd Razif
Mohd Razif

Menurutnya, ini kerana dia memerlukan kewangan yang lebih bagi persediaan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

“Sekarang ini ekonomi tidak menentu. Kalau pergi bazar pun untuk satu juadah makanan mencecah RM10 untuk seorang makan. Ini belum lagi bagi mereka yang telah berkeluarga seperti saya. Memang banyak guna duit kalau tidak memasak di rumah,” katanya.

Tambah Mohd Razif, selain asnaf, program tersebut turut membantu para pelajar memandangkan golongan tersebut tidak mempunyai pendapatan yang tetap.

“Pada saya, sangat program sebegini. Selain membantu golongan asnaf, ia turut membantu para pelajar.

Nazirah
Nazirah

Suri rumah, Nazirah A Rahman, 35, pula berpendapat, selain membantu dalam menjimatkan kewangan dan elak pembaziran makanan berlaku, ia turut membantu golongan yang bekerja dan juga bujang.

Jelasnya, ini kerana terdapat mereka yang bekerja sekitar kawasan itu tidak sempat pulang ke rumah atau pergi ke bazar untuk mencari juadah berbuka puasa.

“Jadi, mereka hanya perlu datang ke sini sahaja. Walaupun sampai sebelum berbuka, mereka masih mempunyai makanan untuk berbuka. Jika mereka ingin pulang, kemungkinan tidak sempat dan hanya berbuka atas kenderaan sahaja,” ujarnya.

Situasi Iftar ala Madinah @Karangkraf sebelum pengunjung berbuka puasa pada Selasa lalu.
Situasi Iftar ala Madinah @Karangkraf sebelum pengunjung berbuka puasa pada Selasa lalu.