SUA lapor polis, dakwa portal fitnah MB Kedah

Muhamad (tengah) menunjukkan laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar pada Khamis.
Muhamad (tengah) menunjukkan laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Satu laporan polis dibuat ke atas sebuah portal berbahasa Melayu kerana didakwa memfitnah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Khamis.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah, Muhamad Mat Yakim berkata, laporan polis tersebut berkaitan satu laporan di portal berkenaan yang bertajuk 'Gerakan singkir MB Kedah sebagai ahli mesyuarat Majlis Kewangan Negara, Sanusi dakwa Sultan Kedah terlibat?'

Menurutnya, tajuk yang digunakan pada tulisan itu adalah fitnah yang bertujuan mahu melagakan Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Tuanku Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dengan Muhammad Sanusi.

"Sebagai pegawai kepada Menteri Besar yang sering ada bersama setiap kali beliau memberi kenyataan kepada pihak media, tidak pernah sekalipun Menteri Besar mendakwa Tuanku Sultan Kedah terlibat dalam usaha penyingkiran beliau sebagai ahli mesyuarat Majlis Kewangan Negara sebagaimana yang boleh ditafsirkan pada tajuk berita berkenaan," katanya pada sidang akhbar selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar pada Khamis.

Jelasnya, perkara tersebut disedari semasa berada di Wisma Darul Aman, dekat sini dan telah terbaca laporan berita tersebut menerusi telefon bimbitnya pada jam 12 tengah hari.

"Saya mohon polis menyiasat laporan ini di bawah Akta Fitnah 1957 kerana tulisan ini boleh membawa tafsiran dan persepsi yang amat membahayakan berkaitan hubungan dua pimpinan utama negeri," ujar beliau.

Tambahnya, laporan tersebut juga sewajarnya disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 kerana ia jelas mempunyai elemen menghasut, mencetuskan kebencian orang ramai terhadap Menteri Besar seolah-olah beliau tidak mendapat perkenan Sultan Kedah untuk terus berkhidmat memimpin kerajaan negeri sedangkan hakikat adalah sebaliknya.

"Hubungan Menteri Besar dengan Tuanku Sultan Kedah adalah sangat baik. Tulisan ini jelas membawa elemen menghasut yang disengajakan untuk memprovokasi masyarakat supaya membenci Menteri Besar.

"Saya juga mohon untuk tulisan ini disiasat bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau mana-mana undang-undang lain yang berkaitan," kata Muhamad lagi.