SSM lancar portal SSM4U version 2.0

Dari kiri: Ahmad Sabki, Fuziah dan Nor Azimah ketika merasmikan pelancaran Portal SSM4U version 2.0 pada Majlis sambutan ulang tahun SSM ke-21 yang membawa tema ‘Semarak Daya Niaga’, di Kuala Lumpur pada Khamis.
Dari kiri: Ahmad Sabki, Fuziah dan Nor Azimah ketika merasmikan pelancaran Portal SSM4U version 2.0 pada Majlis sambutan ulang tahun SSM ke-21 yang membawa tema ‘Semarak Daya Niaga’, di Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah melancarkan portal SSM4U version 2.0 yang dinaik taraf dari versi asal iaitu portal SSM4U dan dijangka mula beroperasi pada 17 April depan.

Portal SSM4U version 2.0 merupakan portal khas yang lebih interaktif dan mesra pelanggan dengan akses setempat kepada semua perkhidmatan dalam talian SSM.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Senator Fuziah Salleh berkata, SSM telah mencatatkan pelbagai transformasi dalam 21 tahun sejak penubuhannya terutamanya dari segi penyampaian perkhidmatan daripada manual ke digital.

“SSM memperkenalkan portal-portal dalam talian seperti EzBiz Online, MyCoID, MyLLP dan MBRS yang memanfaatkan keupayaan digital dalam menjadi sebuah agensi pengawal selia yang dipercayai sekali gus mendorong pertumbuhan positif sektor korporat di Malaysia.

“SSM telah berjaya mentransformasikan bukan saja proses pendigitalan bagi mendaftarkan pelbagai entiti perniagaan, malah berjaya mengurangkan tempoh masa diambil bagi memulakan perniagaan dan perbadanan syarikat di Malaysia melalui sistem berasaskan teknologi digital yang canggih, moden dan mesra pengguna,” katanya.

Fuziah (empat dari kanan), Ahmad Sabki (lima dari kanan) dan Azimah (tiga dari kanan) bersama penerima sumbangan Wakalah Zakat Korporat dan Tanggungjawab Sosial Korporat.
Fuziah (empat dari kanan), Ahmad Sabki (lima dari kanan) dan Azimah (tiga dari kanan) bersama penerima sumbangan Wakalah Zakat Korporat dan Tanggungjawab Sosial Korporat.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa merasmikan pelancaran Portal SSM4U version 2.0 pada Majlis sambutan ulang tahun SSM ke-21 yang membawa tema ‘Semarak Daya Niaga’ di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengerusi SSM, Ahmad Sabki Yusof, anggota-anggota SSM dan Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz.

Beliau berkata, sehingga 31 Mac 2023, sebanyak 8,890,348 perniagaan, 1,495,048 syarikat dan 34,757 Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) telah berjaya didaftarkan dengan SSM.

Dalam majlis yang sama, SSM juga menyantuni golongan yang kurang bernasib baik dengan menyampaikan sumbangan Wakalah Zakat Korporat dan Tanggungjawab Sosial Korporat berjumlah RM57,000 kepada lebih 15 penerima terdiri daripada rumah kebajikan, usahawan asnaf serta B40.