Lima ekor penyu mati di sekitar Pulau Perhentian

Salah seekor bangkai penyu yang ditemui di sekitar Pulau Perhentian.
Salah seekor bangkai penyu yang ditemui di sekitar Pulau Perhentian.
A
A
A

BESUT - Sebanyak lima ekor penyu ditemukan mati di sekitar Pulau Perhentian, di sini dalam tempoh seminggu sejak Rabu lalu.

Pengurus projek pemuliharaan penyu, Perhentian Turtle Project, Shafiqah Othman berkata, kematian itu melibatkan dua penyu jantan dewasa, dua penyu betina dewasa dan seekor anak penyu agar.

Menurutnya, kematian pertama dilaporkan pada hari Rabu iaitu seekor penyu agar jantan dewasa di Pasir Acing dan mereka ke lokasi kejadian bagi melakukan sedikit pemeriksaan fizikal untuk mengenal pasti kecederaan yang ada pada bangkai tersebut sebelum menanamnya di kawasan itu.

"Tiga hari kemudian iaitu Sabtu, seekor lagi penyu agar betina dijumpai dalam keadaan cangkerang yang sudah pecah, namun ia masih hidup ketika itu.

"Kami bawa haiwan ini ke Pusat Taman Laut, namun hasil pemeriksaan mendapati kecederaannya terlalu parah namun akhirnya tidak dapat diselamatkan dan mati.

"Ketika kami ingin menanam bangkai kedua itu pada keesokan hari, kami dikejutkan lagi dengan satu lagi laporan mengenai penemuan bangkai penyu yang ketiga pula," katanya pada Khamis.

Shafiqah berkata, bangkai seekor penyu agar juvenil ditemui di Teluk Pauh pada Selasa sekali gus menjadikannya kematian keempat sebelum penemuan satu lagi bangkai penyu agar dewasa betina di tengah laut pada Rabu.

"Penemuan lima bangkai penyu dalam tempoh singkat ini begitu membimbangkan kerana perkara ini tidak pernah terjadi sebelum ini.

"Jadi kami berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan terperinci mengenai kejadian luar biasa agar tidak berulang lagi," katanya.