Polis tahan lelaki hina institusi beraja

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga tempatan ditahan kerana disyaki membuat hantaran berbaur penghinaan terhadap institusi beraja di Malaysia menerusi akaun Facebook.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan di Temerloh, Pahang oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh, pada Rabu.

"Permohonan reman terhadap suspek di bawah Seksyen 117 kanun Tatacara Jenayah akan dibuat esok (Khamis) di lokap berpusat Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Noorsiah berkata, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Masyarakat dinasihatkan agar sentiasa menghormati institusi beraja kerana ia telah dijamin oleh perlembagaan demi menjaga kestabilan negara, bangsa dan agama.

"Mana-mana individu atau pihak yang didapati dengan sengaja mengeluarkan sebarang kenyataan menghina dan memperlekeh intitusi beraja akan diambil tindakan tegas," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!