Kes demam denggi menurun 5.4 peratus pada ME-14

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - Jumlah kes demam denggi yang dilaporkan pada minggu epidemiologi (ME) ke-14 tahun ini iaitu 2 hingga 8 April lepas menurun 5.4 peratus kepada 2,239 kes berbanding 2,365 kes pada minggu sebelumnya, dengan dua kematian dicatatkan akibat komplikasi demam denggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah sebanyak 30,926 kes berbanding 9,957 kes bagi tempoh sama pada 2022 iaitu peningkatan sebanyak 210.6 peratus.

Sebanyak 20 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding empat kematian bagi tempoh yang sama pada 2022, katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebanyak 93 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ME ke-14 dengan 51 lokaliti di Selangor, 22 lokaliti di Pulau Pinang, Sabah (lapan), enam lokaliti di Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur dan Putrajaya, masing-masing dua lokaliti di Kedah serta Perak dan masing-masing satu lokaliti di Negeri Sembilan serta WP Labuan, katanya.

Dr Noor Hisham berkata, survelan chikungunya merekodkan sebanyak lima kes pada ME ke-14 dengan tiga kes dari Negeri Sembilan dan dua kes dari Selangor, dan ini menjadikan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini ialah 114 kes.

Bagi survelan zika, beliau berkata, sebanyak 723 sampel darah dan empat sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif. - Bernama