Proton lancar kempen servis Rahmah RM150

Roslan ketika berucap semasa melancarkan Kempen Proton Rahmah 2023 pada Rabu. - Foto Bernama
Roslan ketika berucap semasa melancarkan Kempen Proton Rahmah 2023 pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

PENGELUAR kereta nasional Proton Holdings Bhd pada Rabu melancarkan Kempen Proton Rahmah 2023 untuk menggalakkan pemilik menghantar kenderaan mereka ke pusat servis yang bertauliah bagi pemeriksaan keselamatan 40 mata percuma dan pakej servis berharga RM150.

Kempen yang bermula hari ini hingga 31 Mei itu dilancarkan bagi menyahut inisiatif kerajaan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup golongan berpendapatan rendah.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pemilikan kenderaan adalah penting untuk kehidupan seharian ramai rakyat Malaysia dan perbelanjaan yang berkaitan dengannya, seperti pembayaran balik pinjaman bank, minyak, tol dan penyelenggaraan adalah komponen utama perbelanjaan isi rumah.

Beliau berkata, menerusi pelancaran kempen itu, pemilik Proton terutama golongan B40 akan dapat memeriksa kenderaan mereka secara percuma dan membeli pakej servis mampu milik, yang akan meringankan beban kewangan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"Saya berbesar hati kerana Proton merupakan syarikat automotif pertama yang menyokong inisiatif kerajaan, dan saya berharap jenama lain akan mengikutinya untuk mengurangkan kos sara hidup mereka yang paling memerlukannya,” katanya ketika melancarkan kempen itu di sini, pada Rabu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, keputusan Proton untuk melancarkan kempen itu adalah selaras dengan usaha syarikat untuk menawarkan nilai tambahan kepada pelanggan dan penting untuk menyediakan produk dan perkhidmatan mampu milik kepada orang ramai.

"Kempen inklusif ini memastikan kos dikongsi secara sama rata antara Proton Edar dan pengedar kami sebagai sebahagian daripada aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan kami berharap dengan kempen ini, pemilik digalakkan servis kereta mereka di pusat servis yang bertauliah sebelum memulakan perjalanan balik kampung semasa tempoh perayaan,” katanya.

Kempen Proton Rahmah 2023 menyasarkan kepada pemilik Proton Persona, Proton Iriz, Proton Exora, Proton Saga, serta model-model terdahulu termasuk Proton Inspira, Proton Waja dan Proton Wira. - Bernama