Debu kuning selubungi Korea Selatan

Korea Selatan dilanda ribut debu kuning dari Gurun Gobi di utara China dan Mongolia pada Rabu. - Foto: AP
Korea Selatan dilanda ribut debu kuning dari Gurun Gobi di utara China dan Mongolia pada Rabu. - Foto: AP
A
A
A

SEOUL - Hampir seluruh Korea Selatan dilanda ribut debu kuning yang berasal dari Gurun Gobi di utara China dan Mongolia pada Rabu.

Ribut kuning merebak ke hampir seluruh negara setakat jam 7 pagi dan akan menjejaskan seluruh negara sehingga Khamis, lapor Agensi Berita Yonhap memetik kenyataan Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA).

Amaran debu halus telah dikeluarkan untuk semua bahagian Korea Selatan, kata pihak berkuasa.

Menurut KMA, purata kepekatan zarah debu halus setiap jam berdiameter lebih kecil daripada 10 mikrometer, dikenali sebagai PM 10, telah meningkat kepada 192 mikrogram setiap meter padu di Seoul setakat 7 pagi dan 494 mikrogram di bandar Ulsan, 307 kilometer tenggara Seoul.

Nasihat debu halus dikeluarkan apabila angka PM 10 kekal melebihi 150 mikrogram selama lebih dua jam.

Pihak berkuasa cuaca mengkategorikan kepekatan PM 10 antara sifar dan 30 mikrogram sebagai "baik", antara 31 dan 80 sebagai "biasa", antara 81 dan 150 sebagai "buruk" dan lebih daripada 151 sebagai "sangat buruk."

Ekoran itu, menurut Kementerian Alam Sekitar tahap kedua terendah "berhati-hati" dalam amaran krisis empat tahap terhadap debu kuning dikuatkuasakan di hampir semua bahagian di negara itu setakat jam 7 pagi.

Kepadatan PM 10 akan kekal pada tahap "sangat teruk" di seluruh negara sehingga Khamis, kata KMA.

Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai yang mempunyai penyakit pernafasan, warga emas dan kanak-kanak supaya berada di dalam rumah dan menggunakan pelitup muka apabila keluar. - Bernama