[VIDEO] Pemuda mengaku bersalah pukul, bakar anjing

Hong Seng tiba di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Rabu.
Hong Seng tiba di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pemuda mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas tuduhan menyebabkan kesakitan ke atas seekor anjing betina, pada bulan lalu.

Braden Yap Hong Seng, 19, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu dengan zalimnya telah menyebabkan kesakitan yang tidak sepatutnya kepada seekor anjing betina berwarna perang.

Perbuatan itu dilakukan pada jam 1.49 pagi di sebuah premis di Jalan Impian Emas 22, Taman Impian Emas, Skudai di sini, 27 Mac lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) akta yang sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian menunjukkan OKS telah memukul dan membakar seekor anjing berwarna perang di premis tersebut.

Susulan aduan awam, doktor veterinar telah menjalankan pemeriksaan fizikal ke atas anjing terbabit di Klinik Vetmedic Petlover, Taman Impian Emas pada 12.30 tengah hari, 28 Mac lalu.

Hasil pemeriksaan, mendapati anjing itu berada dalam keadaan ketakutan selain terdapat kesan lebam dan terbakar di bahagian paha kiri, luka pada kaki hadapan dan pendarahan di bahagian mata sebelah kiri.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan, Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor, Mohd Zamri Shak@Ishak manakala Hong Seng diwakili peguam, P Rajakunaseelan.

Bagaimanapun, peguam P Rajakunaseelan memohon penangguhan bagi hukuman terhadap Hong Seng, memandangkan peguam G K Sritharan yang sepatutnya mewakili anak guamnya itu tidak dapat hadir kerana berada di luar negara.

"Peguam yang dilantik Hong Seng kini berada di Filipina dan penerbangan pulangnya ke Malaysia adalah pada minggu depan," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 April ini untuk fakta dan hukuman terhadap Hong Seng.