Musibah berulang setiap tahun

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SETIAP kali tibanya musim perayaan, maka kita akan dihidangkan dengan skrip sama membabitkan mangsa-mangsa mercun yang cedera dan hilang anggota badan mereka.

Paling menyedihkan apabila ia melibatkan mangsa remaja dan kanak-kanak yang masa depan mereka akan terjejas apabila kecacatan anggota mengehadkan peluang mereka untuk bekerja kelak.

Kes terkini yang dilaporkan enam hari lalu melibatkan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dari Kuala Nerus, Terengganu yang cedera pada mata kanan kerana bermain mercun.

Tiga lagi rakannya yang berusia antara lapan hingga 13 tahun bernasib baik hanya cedera ringan pada bahagian badan.

Kita bimbang, makin hampirnya dengan 1 Syawal, jumlah mangsa akan bertambah kerana kealpaan ibu bapa membenarkan anak-anak mereka bermain mercun.

Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, tidak salah untuk mengawal anak-anak kerana mencegah sesuatu perkara yang buruk adalah baik demi keselamatan anak masing-masing.

Sentiasa berikan nasihat kepada mereka dan pantau pergerakan anak-anak agar mereka tidak terdedah kepada aktiviti bermain mercun yang membahayakan.

Semua sedia maklum, mercun bukanlah tuntutan dalam agama untuk meraikan hari raya dan kejayaan berpuasa selama sebulan.

Selain membazirkan wang ringgit, tiada manfaat besar yang dapat diperolehi daripada acara pembakaran mercun.

Maka, sewajarnya kerajaan mempertimbangkan semula kelulusan yang diberikan melibatkan penjualan 45 jenis mercun dan bunga api.

Ini kerana dalam keadaan larangan penjualan mercun dikuatkuasakan sebelum ini pun kita dapat lihat aktiviti jual beli dan pembakaran dilakukan dengan bebas sekali.

Kerajaan juga wajar meneliti gesaan Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) yang meminta agar cadangan untuk membenarkan penjualan mercun dan bunga api dikaji semula.

Presidennya, Mohamad Yusrizal Yusof berkata, langkah tersebut bukan satu keperluan ketika ini kerana ia memberi risiko kepada aspek keselamatan pengguna terutamanya kanak-kanak.

Selain itu, ramai bimbang kelulusan itu akan mengundang bencana lebih besar kerana anak-anak muda sekarang ini kerana mereka berani melakukan macam-macam pengubahsuaian terhadap mercun sedia ada.