Lelaki putus tangan kiri terkena mercun buatan sendiri

Keadaan mangsa sebaik terkena letupan mercun buatan sendiri dalam kejadian di Kampung Gong Pak Damat di Kuala Nerus awal pagi Isnin.
Keadaan mangsa sebaik terkena letupan mercun buatan sendiri dalam kejadian di Kampung Gong Pak Damat di Kuala Nerus awal pagi Isnin.
A
A
A

KUALA NERUS - Seorang lelaki terpaksa menahan kesakitan selepas tangan kirinya putus dan beberapa jari tangan kanan hancur akibat terkena mercun buatan sendiri dalam kejadian di Kampung Gong Pak Damat di sini awal pagi Isnin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 pagi itu turut mengakibatkan mangsa yang berusia 27 tahun mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, siasatan awal mendapati mangsa telah membancuh mercun buatan sendiri menggunakan mercun bola dan paip Polyvinyl Chloride (PVC) menyebabkan berlaku letupan yang kuat.

"Mangsa mengalami kecederaan serius iaitu putus pada pergelangan tangan kiri, manakala beberapa jari tangan kanan juga hancur serta mengalami kecederaan lain pada bahagian badan.

"Mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan telah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU)," katanya dalam kenyataan di sini pada malam Isnin.

Ujar beliau, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

"Kejadian ini merupakan kes kedua yang berlaku di Terengganu yang menyebabkan kecederaan akibat mercun pada tahun ini.

"Usaha untuk menangkap pengedar dan penjual mercun itu kini giat dijalankan," ujar beliau.

Menurut Rohaimi, sejak 23 Mac hingga 9 April lalu sebanyak 17 kes pertuduhan jenayah melibatkan tangkapan dan rampasan mercun telah dijalankan oleh kontinjen Terengganu.

Katanya, ia membabitkan nilai rampasan sebanyak RM18,835 dengan sebanyak 18 tangkapan.

"Pihak polis memberi amaran keras kepada mana-mana individu yang didapati mengedar atau menjual bunga api atau mercun tanpa permit.

"Mereka yang didapati melakukan kesalahan itu akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya," tegas beliau.

Sebelum ini, media melaporkan empat remaja lelaki cedera dengan seorang daripada mereka hampir buta mata kanan ketika bermain mercun yang diubah suai dalam kejadian di daerah ini pada 6 April lalu.