DBKL bakal adakan sesi libat urus PSKL 2040

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengadakan sesi libat urus bersama orang awam dan pihak berkepentingan bagi pindaan Draf Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040).

Pengarah Eksekutif (Perancangan) DBKL, Datuk Sulaiman Mohamed berkata, langkah itu selaras dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan dengan penangguhan proses pewartaan Draf PSKL2040 sehingga 31 Mei 2023.

Menurutnya, susulan daripada itu, orang awam boleh mendapatkan Laporan Akhir Pindaan Draf PSKL2040 melalui laman sesawang rasmi DBKL di alamat https://www.dbkl.gov.my mulai 13 April 2023.

"Sesi libat urus diadakan bertujuan untuk memaklumkan pindaan yang telah dibuat terhadap draf tersebut berdasarkan pandangan awam yang diterima, pengesyoran Jawatankuasa Pendengaran Pandangan Awam (JKPPA), penyelarasan dasar semasa kerajaan dan pandangan Ahli Lembaga Penasihat Perancangan Wilayah Persekutuan (LPPWP)," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Ujarnya, tarikh, masa dan tempat bagi sesi libat urus tersebut akan dimaklumkan kepada orang awam dan pihak berkepentingan dalam masa terdekat.

Pada Sabtu, Anwar menerusi kenyataan memberitahu PSKL 2040 akan ditangguhkan sehingga 31 Mei bagi membolehkan pelanjutan sesi libat urus oleh DBKL.

Katanya, langkah itu akan membolehkan DBKL mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan dalam satu tempoh yang mencukupi bagi memberi penjelasan, di samping mendapatkan maklum balas sewajarnya berkaitan pewartaan PSKL 2040.