231 lokasi panas Op Bersepadu Aidilfitri dikenal pasti

Anthony (tengah) menyempurnakan simbolik perasmian pejabat baharu JPJ Bentong di sini pada semalam.
Anthony (tengah) menyempurnakan simbolik perasmian pejabat baharu JPJ Bentong di sini pada semalam.
A
A
A

BENTONG - Kementerian Pengangkutan mengenal pasti 231 lokasi panas di seluruh negara sempena Op Bersepadu Aidilfitri 2023 yang bermula 18 hingga 27 April ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memberitahu, pelbagai pendekatan juga diambil bagi operasi tersebut antaranya penggunaan kereta peronda di kawasan kritikal atau kerap berlakunya kemalangan.

Menurutnya, ia untuk memberikan kesedaran dan secara psikologi pengguna jalan raya akan lebih berhati-hati.

"Untuk Op Bersepadu ini, dasar kita juga jelas iaitu sebanyak sembilan jenis kesalahan tidak dibenarkan kompaun iaitu jika mereka melakukan kesalahan dan jika ditangkap akan dihadapkan ke mahkamah.

"Kita melihat serius bahawa kesalahan-kesalahan ini akan mudah mengundang risiko kemalangan.

"Kita mengharapkan pengguna supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya terutamanya di Pahang ini kerana ia adalah pintu masuk ke Pantai Timur dari Lembah Kelang," ujar beliau.

Beliau berkata sedemikian pada sidang akhbar sempena perasmian pecah tanah projek pembinaan pejabat baharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Bentong di Jalan Chamang di sini pada Selasa.

Anthony (tengah) menandatangani plak perasmian bangunan baharu pejabat JPJ Bentong bersama Mohammad Fakhruddin (kiri) pada Selasa
Anthony (tengah) menandatangani plak perasmian bangunan baharu pejabat JPJ Bentong bersama Mohammad Fakhruddin (kiri) pada Selasa

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim dan Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin.

Antara kesalahan itu membabitkan memotong barisan, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

Ujar beliau, daerah Bentong juga menjadi fokus kementerian kerana berjuta kenderaan akan melalui kawasan-kawasan di Pahang terutamanya di daerah tersebut.

"Jadi sudah tentu kita memberikan fokus untuk memastikan kelancaran lalu lintas dengan kerjasama pihak trafik," jelas Anthony.

Sementara itu, beliau memberitahu projek pembinaan pejabat baharu JPJ Bentong dengan kos RM10.4 juta akan dibina di atas tanah keluasan 0.6 hektar ini berkonsepkan 'pejabat pintar' yang dilengkapi dengan ciri-ciri pejabat yang lebih moden, digital dan kondusif kepada pelanggan.

"Kini JPJ Cawangan Bentong telah menerima purata pelanggan setiap tahun sekitar 50,000 orang atau 180 pelanggan sehari, namun dengan terbinanya pejabat baharu ini kelak akan memberikan perkhidmatan lebih ramai dengan purata pelanggan sekitar 50 orang dalam satu masa," tambah beliau.

Pejabat baharu yang dijangka siap pada April 2025 ini akan menggantikan pejabat sedia ada yang telah beroperasi sejak 1983 kini sudah daif serta tidak dapat menampung kapasiti orang awam.