PRN: Pas yakin mampu takluk tiga negeri - Dr Halimah

Dr Halimah pada program Wacana Sinar bertajuk PRN: Signal untuk Putrajaya yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa. - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor
Dr Halimah pada program Wacana Sinar bertajuk PRN: Signal untuk Putrajaya yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa. - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor
A
A
A

SHAH ALAM - Pas yakin mampu menakluki Kelantan, Terengganu dan Kedah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang berikutan gelombang sokongan orang Melayu dan anak muda yang berterusan bermula pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan sehingga kini.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Halimah Ali, gelombang berkenaan dilihat tidak surut kerana kumpulan itu mahukan perubahan pucuk pimpinan politik.

“Disebabkan keadaan politik semasa tidak stabil telah mendorong kumpulan tersebut untuk mula mengkaji tentang parti terbaik yang boleh menjadi kerajaan.

“Kami yakin semangat itu berterusan sehingga PRN akan datang dan berupaya untuk meraih undi majoriti di Kelantan, Terengganu dan Kedah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Wacana Sinar bertajuk PRN: Signal untuk Putrajaya yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panel ialah Timbalan Ketua Penerangan PKR, Chua Wei Kiat dan pemerhati politik, Iswardy Morni manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Dr Halimah
Dr Halimah

Dalam pada itu, Halimah yang juga Ahli Parlimen Kapar berkata, Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai stigma kerana parti itu hanya membawa konotasi fahaman Melayu dan Islam sahaja.

“Mungkin ada sesetengah ahli parti terlepas cakap sehingga memperlihatkan PN bersifat perkauman tetapi itu tidak benar dan jangan jadikan ia sebagai satu perkara umum.

“Untuk pengetahuan semua, di dalam Pas ada satu dewan menghimpunkan pendukung parti yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan bangsa. Mereka yang menyertai himpunan tersebut mempunyai kemahuan, keperluan dan harapan,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau berkata, mustahil jika Pas membawa sentimen tersebut kerana di dalam buku perlembagaan parti ada menyebut tentang memupuk perpaduan kaum.

Ujar beliau, parti berkenaan mahu menyatupadukan dan membangunkan rakyat daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama agar kemakmuran dapat dikongsi bersama.