Muslim Pro derma 50 peratus kepada PCRF

Muslim Pro
Muslim Pro
A
A
A

SHAH ALAM - Muslim Pro mendermakan 50 peratus daripada jumlah hasil langganan premium global kepada Tabung Bantuan Kanak-Kanak Palestin (PCRF).

Hasilnya akan disalurkan kepada bantuan kemanusiaan dan inisiatif di Palestin, termasuk Projek Amputee Gaza, Program Rawatan Luar Negara dan Program Jantung Pediatrik.

Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Muslim Pro, Fara Abdullah berkata, Muslim Pro menekankan kepentingan memberi kembali kepada mereka yang memerlukan sepanjang Ramadan.

“Muslim Pro harus menggunakan platform kami sebaiknya dengan memberi manfaat kepada masyarakat dan kami berbangga untuk bekerjasama dengan PCRF untuk menyokong misi penting mereka dalam menyediakan penjagaan kritikal untuk kanak-kanak Palestin.

“Kami ingin memberi peluang kepada pengguna kami untuk membuat sumbangan yang bermakna sambil merasai pengalaman terbaik daripada aplikasi pada Ramadan ini kerana setiap amalan baik yang dilakukan akan dilipatgandakan pahalanya,” katanya dalam satu kenyataan.

Muslim Pro ialah aplikasi gaya hidup Muslim terkemuka di dunia dengan lebih 145 juta muat turun.

Sementara itu, Pengasas PCRF, Steve Sosebee berkata, kerjasama dengan Muslim Pro membuktikan kuasa teknologi dan keupayaannya untuk membawa orang ramai bersama-sama untuk melakukan perubahan.

“Dengan sokongan Muslim Pro, kami boleh terus menyediakan rawatan perubatan kritikal kepada kanak-kanak yang memerlukan di Palestin. Dengan langganan premium Muslim Pro, pengguna di Malaysia boleh menikmati pengalaman bebas iklan bagi semua ciri dalam aplikasi Muslim Pro, termasuk Qalbox, perkhidmatan penstriman hiburan mesra Muslim,” kata Steve Sosebee.

Barisan kandungan baharu di Qalbox untuk Ramadan 2023 merangkumi beberapa kandungan Islamik dan gaya hidup seperti Tadarus Al Quran 30 Juz untuk 30 Hari, Asmaul Husna: 99 Nama Allah, Makanan dari Hati, Sahur Mudah dan Hadis Hari Ini.

Qalbox juga menampilkan kandungan berlesen seperti Omar, Bilal: A New Breed of Hero, dan Sultan & The Khan, dan lebih banyak kandungan yang akan dikeluarkan sepanjang bulan Ramadan.

Beberapa siri rancangan akan diterbitkan oleh qari terkenal Malaysia dan kandungan berlesen popular lain. Butiran lanjut mengenai program memperkasa ini boleh didapati di Lampiran.

Pengguna boleh menyemak imbas dan menikmati katalog kandungan tanpa iklan Qalbox melalui aplikasi Muslim Pro (tersedia di Apple App Store dan Google Play Store), aplikasi laman sesawang, tab, Chromecast dan tidak lama lagi di Samsung Tizen TV, Android dan tvOS Apple TV.