Jang puas hati ikat Sabah di Paroi

Pemain Negeri Sembilan, Che Rashid Halim (kiri) menggasak pemain Sabah, Rawilson Batul semasa aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, pada Isnin.
Pemain Negeri Sembilan, Che Rashid Halim (kiri) menggasak pemain Sabah, Rawilson Batul semasa aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, pada Isnin.
A
A
A

PENGENDALI Negeri Sembilan FC, K Devan berpuas hati dengan keputusan seri dilakar skuad Rusa biarpun menyasarkan tiga mata ketika berdepan Sabah FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Isnin.

Tanpa berselindung Devan memuji kesungguhan yang dipamerkan pemain-pemain skuad Hoben Jang Hoben untuk meraih tiga mata di laman sendiri bagi memperbaiki kedudukan pasukan dalam liga.

"Saya berpuas hati dengan keputusan hari ini, kita pun tahu bahawa Sabah merupakan pasukan yang diperkuatkan dengan pemain berkualiti biarpun Negeri Sembilan terlebih dulu mendahului dan lebih baik pada separuh masa pertama.

"Separuh masa kedua, Sabah lebih mengawal permainan, sebaliknya Negeri Sembilan lebih banyak bertahan selain pertukaran pemain memberikan kelebihan kepada mereka.

"Apabila kita mengeluarkan pemain import digantikan dengan pemain lokal di situ, kualiti mula tidak seimbang, namun pemain telah bermain dengan baik terutamanya apabila bertahan cuma saya perlu melihat semula kepada bahagian serangan yang kurang tajam setiap kali melakukan percubaan," katanya kepada pemberita selepas perlawanan pada Isnin.

Negeri Sembilan dan Sabah berkongsi mata di Paroi dengan gol skuad Rusa dijelmakan Tommy Mawar Mada pada minit ke-21 sebelum tandukan Park Tae-su minit ke-76 sekali gus mengikat perlawanan 1-1.

Ditanya mengenai bahagian pertahanan Negeri Sembilan, Devan mengakui bahagian tersebut masih memerlukan penambahbaikan dalam usaha mewujudkan benteng yang lebih mantap.

"Dari segi fokus, komunikasi apabila berdepan serangan pasukan lawan masih belum baik dan memerlukan penambahbaikan.

"Sekiranya mereka beraksi untuk tempoh masa yang lama satu sama lain dan memiliki 'leader' di bahagian tersebut, saya percaya permainan akan menjadi bertambah baik," katanya.

Keputusan seri itu menyaksikan Negeri Sembilan mengumpul sembilan mata setelah mengharungi tujuh perlawanan untuk berada di kedudukan kesembilan manakala Sabah pula keempat dengan 14 mata selepas lapan perlawanan.

Sementara itu, Devan mengakui tidak terlalu memikirkan kedudukan semasa Negeri Sembilan dalam saingan liga, sebaliknya memberikan jaminan anak-anak buahnya akan memberikan aksi terbaik setiap perlawanan.

"Sejujurnya, saya tidak terlalu memikirkan kedudukan semasa Negeri Sembilan dalam liga pada masa ini.

"Ini kerana perjalanan liga masih panjang dan permulaan musim kita berdepan pasukan pilihan, kita masih belum berdepan di bawah kedudukan kita.

"Biarpun begitu kita akan memberikan yang aksi terbaik dalam setiap perlawanan dengan kapasiti dan kemampuan semasa skuad Negeri Sembilan pada masa ini," sambil mengakui mengharapkan tambahan pemain import pada jendela perpindahan kedua untuk memastikan skuad Rusa lebih berdaya saing.