20,000 pengunjung dijangka meriahkan Program Pelita Raya

Ariffin (tiga dari kiri) meninjau persiapan Program Pelita Raya Terengganu 2023 (PELITER @KBT) yang akan berlangsung pada 14 hingga 18 April di Kampung Budaya Terengganu (KBT), Muzium Negeri di Losong.
Ariffin (tiga dari kiri) meninjau persiapan Program Pelita Raya Terengganu 2023 (PELITER @KBT) yang akan berlangsung pada 14 hingga 18 April di Kampung Budaya Terengganu (KBT), Muzium Negeri di Losong.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Program Pelita Raya Terengganu 2023 (PELITER @KBT) yang akan berlangsung pada 14 hingga 18 April di Kampung Budaya Terengganu (KBT), Muzium Negeri di Losong dijangka menarik kehadiran kira-kira 20,000 pengunjung.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, program pada malam tujuh likur bertemakan Comeynya Peliter itu mengetengahkan konsep ‘1 Pejabat Daerah 1 Rumah Tradisi’.

Menurutnya, melalui konsep itu, setiap peserta membabitkan lapan daerah iaitu Kuala Terengganu, Besut, Setiu, Kuala Nerus, Marang, Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu perlu menghiaskan rumah-rumah tradisi dan check point yang terdapat di KBT.

"Program pelita raya antara acara yang dinantikan masyarakat Terengganu kerana mempunyai tarikan tersendiri. Pengunjung dapat melihat kreativiti, cetusan idea dan dekorasi yang ditonjolkan peserta pada setiap rumah tradisi.

"Penganjuran program ini pastinya dapat merancakkan lagi aktiviti pelancongan negeri dan mampu memelihara adat dan budaya masyarakat Melayu dahulu kala," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Ariffin berkata, Pejabat Daerah Dungun akan menghias Rumah Bujang Serambi Selasar, Pejabat Daerah Hulu Terengganu (mencantikkan kawasan Perahu Besar dan Galeri Pelayaran), Pejabat Daerah Kemaman (Istana Tengku Long) dan Pejabat Daerah Besut (Rumah Nelayan).

Katanya, Pejabat Daerah Kuala Terengganu pula akan menghias Rumah Bujang Berkembar, Pejabat Daerah Marang (Rumah Limas Belanda), Pejabat Daerah Kuala Nerus (Laman Warisan) dan Pejabat Daerah Setiu akan menghias Rumah Tele.

Jelas beliau, hasil rekaan replika dan dekorasi perlu menggunakan barangan terpakai dan disyaratkan peserta menggunakan lebih dari 150 pelita sumbu.

"Program kali ini menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM14,000 kepada pejabat daerah dan pengunjung yang hadir melalui pertandingan foto di Facebook.

"Orang ramai dijemput hadir ke program ini kerana Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Pejabat Daerah telah merangka pelbagai aktiviti sampingan seperti persembahan kebudayaan serta demonstrasi dan jualan makanan tradisional daerah dan produk usahawan tempatan.

"Bayaran masuk untuk dewasa hanya RM1 dan percuma bagi orang kurang upaya (OKU), warga emas dan kanak-kanak bawah 6 tahun," katanya.