Skuad kriket lelaki sasar sapu bersih tiga emas di Kemboja

Ketua jurulatih, Bilal Asad (tengah) yakin kemampuan skuad lelaki untuk membawa pulang tiga emas.
Ketua jurulatih, Bilal Asad (tengah) yakin kemampuan skuad lelaki untuk membawa pulang tiga emas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Skuad kriket lelaki kebangsaan menyasarkan menyapu bersih tiga pingat emas ditawarkan pada Sukan SEA 2023 di Kemboja yang dijadual berlangsung dari 5 hingga 17 Mei ini.

Tiga emas itu hadir menerusi format permainan Twenty20 (T20), Ten10 (T10) dan 50-overs dengan skuad bimbingan jurulatih dari Pakistan, Bilal Asad, berdepan tentangan Singapura selaku pencabar utama pasukan negara di temasya dwitahunan berkenaan.

Ketua pasukan, Ahmad Faiz Mohd Noor berkata, ini merupakan peluang keemasan negara untuk melakar kejayaan membanggakan sekali gus memperbaiki pencapaian satu emas dan satu perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur yang merupakan kali terakhir sukan itu dipertandingkan.

"Kalau ikutkan prestasi dan ranking semasa di antara semua pasukan terlibat, kita antara pasukan pilihan tetapi kami tidak akan ambil mudah. Kita tetap fokus dan sebagai pemain, kita berlatih mengikut arahan jurulatih dan perancangan persatuan,” katanya pada sidang media Majlis Sukan Negara (MSN) di sini pada Isnin.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Sungai Petani, Kedah, berusia 35 tahun itu enggan memandang rendah saingan di Sukan SEA, biarpun pasukan negara telah beraksi di kejohanan lebih tinggi dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, skuad kriket lelaki kebangsaan meraih emas acara 50-overs dan terpaksa berpuas hati menggengam pingat perak acara T20 selepas tewas kepada Singapura.

Sementara itu, Bilal yakin anak buahnya mampu membolot tiga emas di Kemboja selepas melihat mereka bekerja keras dalam latihan sejak dua tahun lalu.

Dalam pada itu, Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Kriket Malaysia (MCA), V. Vijayalingam berkata skuad wanita yang kini sedang membuat persiapan di Sri Lanka mempunyai sasaran tiga pingat perak masing-masing dalam format T20, T10 dan 50-overs. - Bernama

​​​​​​