‘Terharu dapat pilih baju raya sendiri’

Seramai 58 anak yatim dan asnaf ambil peluang bergambar bersama Yahaya, pengurusan TDM dan Pertubuhan Sejahtera selepas selesai membeli pakaian Aidilfitri. - Foto TDM
Seramai 58 anak yatim dan asnaf ambil peluang bergambar bersama Yahaya, pengurusan TDM dan Pertubuhan Sejahtera selepas selesai membeli pakaian Aidilfitri. - Foto TDM
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Berpeluang membeli pakaian baharu untuk dipakai pada 1 Syawal nanti sedikit sebanyak memberi sinar keceriaan kepada Muhammad Ilham Wafiy, 9, yang baru kehilangan bapa pada Ramadan.

Menurut murid tahun dua itu, dia bersama tiga adiknya turut terharu apabila diberikan peluang dan kebebasan memilih sendiri warna tema serta gaya baju baharu pada sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Alhamdulillah, kami dapat memilih warna tema untuk keluarga kami sempena raya kali ini.

“Walaupun sambutan Aidilfitri kali ini merupakan tahun kesedihan bagi kami sekeluarga kerana baru kematian bapa tercinta, namun demi semangat kepada ibu dan adik-adik kami cuba meriahkan suasana hari raya,” katanya di sini.

Muhammad Ilham merupakan antara 58 anak yatim dan asnaf dari daerah ini dan Marang yang diraikan TDM Berhad dengan kerjasama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Muafakat Sejahtera Terengganu (SEJAHTERA).

Mereka berkongsi kegembiraan dengan membawa anak-anak yatim tersebut membeli belah pakaian baharu di Kuala Terengganu City Centre (KTCC) dan majlis berbuka puasa di Hotel Paya Bunga selain sumbangan duit raya.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Yahaya Ali dan pengurusan TDM turut hadir meraikan kanak-kanak berkenaan.

Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, TDM melalui program CSR komited untuk sentiasa berkongsi rezeki bersama masyarakat setempat dan berhasrat meningkatkan usaha membantu golongan yang memerlukan.

“Ia bertepatan dengan bulan Ramadan yang semakin ke penghujung serta Syawal yang bakal tiba.

“Dalam kita menyambut Ramadan dan Syawal dengan penuh kegembiraan, kita tidak lupa golongan kurang bernasib baik yang jarang mendapat peluang menyambut bulan mulia ini dengan membeli atau memilih baju raya baharu mereka sendiri.

“Kami berbesar hati dapat melibatkan diri dalam program seumpama ini dan berharap agar ia menjadi pengalaman serta memori yang indah dan tidak dapat dilupakan buat anak-anak ini,” katanya di sini pada Isnin.