Mangsa kebakaran anak tunggal - Polis

Soffian (kanan) melawat kawasan kejadian pada pagi Isnin.
Soffian (kanan) melawat kawasan kejadian pada pagi Isnin.
A
A
A

GEORGETOWN - Kanak-kanak perempuan yang maut dalam kebakaran melibatkan tiga buah rumah di Kampung Pisang, Jalan Paya Terubong di sini merupakan anak tunggal dalam keluarganya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, mangsa, G Sri Laavanya yang kehilangan ibunya sejak beberapa tahun lalu tinggal bersama bapa, datuk dan neneknya di rumah sewa berkenaan.

Menurutnya, rumah didiami mangsa terbahagi kepada tiga bahagian yang disewa oleh keluarga berbeza termasuk keluarga mangsa.

"Ketika kejadian, mangsa hanya bertiga dengan nenek dan datuknya manakala bapanya keluar atas urusan lain. Menurut nenek mangsa, selalunya mangsa akan tidur di biliknya sendiri namun malam tadi (Ahad), dia tidur di bilik bapanya.

"Ketika kejadian, api marak dengan cepat menyebabkan datuk dan nenek mangsa gagal untuk menyelamatkannya," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau berkata, mayat mangsa yang rentung ditemui di belakang katil dalam keadaan terbaring.

"Mangsa dipercayai cuba menyelamatkan diri dengan berlindung di belakang katil. Sementara itu, neneknya mengalami melecur di tangan sebelah kanan dan telah menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Pulau Pinang.

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik HPP untuk bedah siasat," katanya.

Soffian menambah, kebakaran bermula dari rumah mangsa yang kemudiannya merebak ke dua buah rumah lagi.

"Keluarga mangsa tinggal di rumah sewa tersebut sejak beberapa tahun lalu dengan sewa RM100 sebulan.

"Punca kebakaran masih disiasat," katanya.

Usaha Sinar Harian untuk mendapatkan keluarga mangsa di Jabatan Perubatan Forensik HPP gagal selepas seluruh ahli keluarga yang hadir terlalu sedih dengan kehilangan mangsa.

Keluarga mangsa yang hadir di Jabatan Perubatan Forensik HPP enggan ditemu bual kerana terlalu sedih.
Keluarga mangsa yang hadir di Jabatan Perubatan Forensik HPP enggan ditemu bual kerana terlalu sedih.

Dalam kejadian 11.15 malam Ahad, seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Pisang, Jalan Paya Terubong di sini.

Menurut bomba, kebakaran melibatkan tiga buah rumah (kelas C) yang terletak bersebelahan dengan setiap rumah berkeluasan 50X100 kaki persegi. Rumah pertama dianggarkan musnah 80 peratus manakala rumah kedua dan ketiga 50 peratus.

Kebakaran dapat dikawal pada jam 12.45 tengah malam dan dipadamkan pada jam12.55 tengah malam.

Kerja-kerja 'overhaul' telah dijalankan dan operasi tamat pada jam 1.23 pagi.