Nafuzi tidak sangka KDA FC tewas besar

Nafuzi (kiri) mahu pemainnya memperbaik kelemahan sebelum menghadapi aksi seterusnya dalam saingan Liga Super 2023. - Foto KDA FC
Nafuzi (kiri) mahu pemainnya memperbaik kelemahan sebelum menghadapi aksi seterusnya dalam saingan Liga Super 2023. - Foto KDA FC
A
A
A

PENGENDALI Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain tidak menyangka pasukannya akan tewas besar 6-0 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi kelapan Liga Super 2023 pada malam Ahad.

Menurutnya, tiga gol awal pada 10 minit separuh masa kedua bermula hasil kesilapan sendiri menjadi titik permulaan kepada kenduri gol Harimau Selatan di Stadium Sultan Ibrahim.

"Saya secara peribadi tidak menyangka dengan kekalahan besar ini. Kita tengok pada separuh masa pertama (bolos) 1-0 ok tapi untuk 10 minit separuh masa kedua kita melepaskan tiga gol yang mudah.

"(Jaringan pantas tiga gol) mungkin melemahkan moral pemain untuk bangkit. Kita cuba tapi kita tahu bukan satu perkara yang mudah, disebabkan kesilapan mudah kita telah dihukum oleh jaringan besar," katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan tamat di Stadium Sultan Ibrahim pada malam Ahad.

Pada perlawanan tersebut, JDT membuka jaringan menerusi Fernando Forestieri pada minit ke-23, diikuti Feroz Baharudin (m-48), Oscar Aribbas (m-50), jaringan penalti Bergson Da Silva (m-53), Arif Aiman Hanapi (m-77) dan Leandro Velazquez (m-86).

Nafuzi menjelaskan, secara keseluruhan beliau melihat masih banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan di semua posisi sebelum menghadapi perlawanan seterusnya.

Secara keseluruhan masih banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan oleh pasukan KDA FC. - Foto KDA FC
Secara keseluruhan masih banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan oleh pasukan KDA FC. - Foto KDA FC

"Malam ini saya sendiri boleh nampak di mana level kita apabila berdepan pasukan yang bagus seperti JDT. pemain perlu bekerja keras lagi untuk kita bersaing.

"Saya boleh nampak karakter pemain apabila berdepan dengan pasukan yang baik seperti ini," ujar beliau.

Tambah Nafuzi, ketiadaan dua tonggak pertahanan, Wan Amirul Afiq dan Ariff Farhan yang tidak diturunkan akibat digantung perlawanan bukan punca Sang Kenari tewas besar pada perlawanan itu.

"Ketiadaan mereka sedikit menjejaskan rentak tapi bagi saya tidak boleh meletakkan ketiadaan mereka menyebabkan pasukan kita tewas besar pada malam ini. Pemain lain juga diberikan tanggungjawab dan memainkan peranan.

"(Sebenarnya) Banyak posisi, kesilapan individu (berlaku), kita kena ada sikap melawan yang lebih," katanya mengulas punca kelemahan KDA FC pada perlawanan tersebut.