Harimau Selatan 'ratah' Kenari

Pemain JDT, Arif Aiman Hanapi mengawal bola walaupun diasak pemain KDA FC, malam tadi.
Pemain JDT, Arif Aiman Hanapi mengawal bola walaupun diasak pemain KDA FC, malam tadi.
A
A
A

SKUAD Johor Darul Ta'zim melebarkan penguasaan di puncak Liga Super apabila 'membenam' Kedah Darul Aman FC (KDA FC), 6-0, di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

JDT bermula garang dengan mengasak bertubi-tubi ke gawang KDA FC dalam usaha membuka jaringan.

Asakan-asakan berkenaan hampir membuahkan hasil namun tonggak import, Bergson Da Silva gagal merembat tepat lorongan Arif Aiman Hanapi pada minit ke-10 sebelum percubaan selang seminit kemudian tinggi melepasi palang gol.

Skuad Harimau Selatan itu sekali lagi hampir menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-16, namun rembatan dari luar kotak penalti pemain import, Juan Muniz gagal menepati sasaran.

JDT akhirnya memecah kebuntuan jaringan apabila penyerang import, Fernando Forestieri memanfaatkan peluang terbuka di depan gawang pelawat pada minit ke-23.

Tersentak dengan gol itu, KDA FC mula bangkit memburu jaringan penyamaan, namun gagal melepasi benteng pertahanan JDT.

Bagaimanapun, benteng pertahanan skuad Harimau Selatan itu cemas seketika apabila penyerang import KDA FC, Willian Lira berjaya melepasi kawalan benteng pertahanan sebelum melakukan percubaan dari luar kotak penalti.

Namun rembatan 'lencong' itu hanya sipi melepasi tiang gol kiri walaupun penjaga gol JDT, Ahmad Syihan sudah pun tertewas.

Kedua-dua pasukan kemudiannya dilihat terus buntu untuk menambah jaringan dan menyaksikan kedudukan 1-0 kekal hingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, JDT dilihat menggandakan asakan dan skuad Harimau Selatan itu tidak perlu menunggu lama untuk menjaringkan gol kedua menerusi Feroz Baharuddin pada minit ke-48.

Bagai mendapat semangat baharu, skuad Harimau Selatan itu kian mengasak hebat ke gawang lawan dan kali ini giliran Oscar Arribas meledak gol ketiga pada minit ke-50.

Belum pun reda sorakan penyokong JDT meraikan jaringan berkenaan, giliran Bergson mencatatkan nama selaku penjaring apabila menyempurnakan sepak penalti pada minit ke-53.

JDT kemudiannya menambah gol kelima pada minit ke-70, namun jaringan hasil sepakan penalti itu dibatalkan pengadil.

Bagaimanapun, situasi berkenaan ditebus pemain sayap lincah Arif Aiman Hanapi pada minit ke-77.

Pemain gantian Leandro Velazquez furut mencatatkan nama selaku penjaring apabila meledak gol keenam pada minit ke-86 dan keputusan berkenaan kekal ke wisel penamat.

JDT - Ahmad Syihan Hazmi, Matthew Davies, Jordi Amat (kapten), Shio Hong Wan (Syameer Kutty Abba), Bergson Da Silva (Syahmi Safari), Feroz Baharuddin, Juan Muniz, Endrick Dos Santos (Afiq Fazail), Oscar Arribas (Leandro Velasquez), Arif Aiman Hanapi, Fernando Forestieri (Akhyar Rashid)

KDA FC - KalamullahAl-Hafiz, Mohd Akmal Md Zahir (Mohd Lokman Hakim), Rodney Celvin (Jonathan De Reis), Bojan Ciger, Amirbek Juraboev, Manuel Ott (kapten), William Lira, Lee Tuck (Fayadh Zulkifli), Mohamad Heshamudin Ahmad (Muhammad Azrin Afiq), Muhammad Kamil Akmal, Manuel Hidalgo

PENGADIL - Razlan Joffri Ali