Tragedi ikan buntal: JKNJ tunggu laporan makmal

Tian Soon (kanan) dan Ka Siong pada sidang akhbar Majlis Berbuka Puasa MCA Bersama Pengamal Media di sebuah hotel di Johor Bahru pada Ahad.
Tian Soon (kanan) dan Ka Siong pada sidang akhbar Majlis Berbuka Puasa MCA Bersama Pengamal Media di sebuah hotel di Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menunggu laporan makmal berkaitan kes kematian pasangan warga emas di Kluang, selepas memakan ikan buntal goreng.

Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, laporan makmal berkenaan dijangka diperoleh dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi.

Katanya, laporan berkenaan penting bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan sebelum diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan undang-undang.

"Pejabat Kesihatan Daerah Kluang dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat telah menjalankan siasatan. Malah pihak polis juga telah membuka kertas siasatan kes berkenaan.

"Kami serahkan kepada pihak pihak DPP untuk ambil tindakan selanjutnya. Buat masa sekarang kami masih menunggu laporan makmal,"katanya.

Beliau ketika ditemui pada sidang akhbar Majlis Berbuka Puasa MCA Bersama Pengamal Media di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Turut hadir, Presiden MCA yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Tian Soon memberitahu perbincangan sedang dilakukan dengan Kementerian Kesihatan dan pakar berhubung hal perundangan kes tersebut.

"Kita perlu berbincang tentang beberapa akta yang sedia ada sama ada memadai untuk kita ambil tindakan mendakwa pembekal ikan berkenaan.

"Ikan-ikan buntal yang dijual pembekal sudah dirampas dan diambil sampel bagi tujuan siasatan," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang awam tidak membeli ikan buntal untuk dijadikan hidangan makanan.