Arsenal mahu akhiri badi di Anfield

Mikel Arteta - Foto AFP
Mikel Arteta - Foto AFP
A
A
A

PENDAHULU Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal bertekad meneruskan momentum positif apabila berdepan Liverpool, sekali gus mengakhiri kemarau kemenangan di Anfield.

Sebagai rekod, Arsenal tidak pernah menang di Anfield dalam kempen liga sejak kemenangan 2-0 pada musim 2012/13 - perlawanan yang menyaksikan kelibat Mikel Arteta untuk kelab utara London itu.

Selepas musim 2012/13, rekod The Gunners setiap kali bertandang ke laman keramat The Reds berakhir dengan kekalahan teruk termasuk dua kekalahan 1-5.

Sebelum aksi terakhir di Anfield pada November 2021, yang menyaksikan Arsenal tewas 0-4, Arteta menggunakan kaedah unik dalam membentuk kekuatan mental pemain bagi berdepan aura Anfield.

Pengendali Arsenal itu telah memainkan lagu penyokong The Reds - 'You'll Never Walk Alone' pada sistem bunyi di tempat latihan sebagai menghadapi suasana di Liverpool.

"Anda perlu menyediakan pemain. Anda perlu memberitahu mereka apa yang akan mereka hadapi dan anda perlu menyedarinya,” kata Arteta.

Biarpun prestasi Liverpool tidak konsisten musim ini, yang menyaksikan The Reds berada di tangga kelapan liga, kelab Merseyside itu masih mempunyai rekod cemerlang di laman sendiri - Leeds United merupakan satu-satunya pasukan yang menewaskan Liverpool di Anfield setakat ini dalam liga.

Dalam masa sama Arteta mengakui pemain The Gunners bersemangat menjelang pertembungan berintensiti tinggi dalam misi mengekalkan kelebihan lapan mata ke atas Manchester City dalam perebutan kejuaraan.

“Kami tahu cabaran besar berdepan Liverpool, tetapi saya melihat peluang besar untuk pergi ke Anfield dan melakukan sesuatu yang kami tidak lakukan selama bertahun-tahun. Itulah yang memacu pasukan dalam beberapa hari kebelakangan ini,” kata Arteta.