Lubnan akan fail aduan 'pencerobohan' Israel

Tentera Israel melancarkan serangan udara di Lubnan pada Jumaat, beberapa jam selepas ia menyerang terowong di Gaza. - Foto:AP
Tentera Israel melancarkan serangan udara di Lubnan pada Jumaat, beberapa jam selepas ia menyerang terowong di Gaza. - Foto:AP
A
A
A

BEIRUT - Lubnan bercadang membuat aduan rasmi kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berhubung "pencerobohan" Israel yang disengajakan yang berlaku awal Jumaat, menurut kenyataan Kementerian Luar.

Kementerian itu berkata, Israel telah melanggar kedaulatan Lubnan dengan mengebom kawasan di selatan Lubnan.

"Menteri Luar Negeri dan Ekspatriat Abdallah Bou Habib mengarahkan Misi Tetap Lubnan ke PBB di New York untuk mengemukakan aduan rasmi kepada Majlis Keselamatan PBB berhubung impak pengeboman Israel dan pencerobohan yang disengajakan pada waktu subuh hari ini (Jumaat) di kawasan selatan Lubnan,” lapor Anadolu Agency memetik kementerian luar.

Ia menyifatkan pencerobohan Israel sebagai "satu pencabulan terang-terangan terhadap kedaulatan Lubnan dan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1701... (yang) mengancam kestabilan yang dinikmati oleh selatan Lubnan.”

Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1701 menggesa penamatan permusuhan serta pengunduran Israel dari selatan Lubnan.

Awal Jumaat, tentera Israel melancarkan serangan udara di Lubnan beberapa jam selepas ia menyerang Semenanjung Gaza.

Dalam satu kenyataan, Israel berkata ia menyerang sasaran milik kumpulan penentang Palestin Hamas di selatan Lubnan.

Tentera Israel pada Khamis berkata sekurang-kurangnya 30 roket ditembak dari selatan Lubnan ke arah Israel.

Setakat ini, belum ada mana-mana kumpulan di Lubnan mengaku bertanggungjawab.

Tindakan itu berlaku selepas tentera Israel menyerbu kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki dan mengusir secara paksa jemaah Palestin, dua malam berturut-turut. - Bernama