80 sukarelawan S P Setia santuni Orang Asli Bukit Tampoi

Sukarelawan yang menyertai Program Sincerely Setia Volunteer Weekend bergambar beramai-ramai bersama komuniti Orang Asli Bukit Tampoi.
Sukarelawan yang menyertai Program Sincerely Setia Volunteer Weekend bergambar beramai-ramai bersama komuniti Orang Asli Bukit Tampoi.
A
A
A

DENGKIL - S P Setia Foundation membawa 80 sukarelawan bagi menyantuni komuniti Orang Asli di Bukit Tampoi menerusi Program Sincerely Setia Volunteer Weekend.

S P Setia dalam satu kenyataan berkata, program kemasyarakatan yang berlangsung pada 18 Mac dan 19 Mac lalu dijayakan dengan kolaborasi Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) and Institute of Engineers Malaysia (IEM).

Menurut kenyataan itu, aktiviti berkenaan selari dengan objek teras kedua dan ketiga S P Setia Foundation iaitu menyantuni golongan memerlukan sama ada orang kurang upaya, miskin atau orang sakit serta membantu meningkatkan pendidikan murid-murid kurang bernasib baik dalam negara.

Anak-anak Orang Asli sertai pembelajaran STEM menerusi aktiviti dikendalikan oleh sukarelawan IEM dan Universiti Teknologi Malaysia.
Anak-anak Orang Asli sertai pembelajaran STEM menerusi aktiviti dikendalikan oleh sukarelawan IEM dan Universiti Teknologi Malaysia.

"Bantuan tersebut termasuk penganjuran aktiviti dalam memupuk semangat perpaduan melalui acara sukan, kebudayaan, seni serta melibatkan penyertaan anak muda pelbagai bangsa," menurut kenyataan itu.

Ujar kenyataan itu, program berlangsung selama dua hari itu diisi dengan aktiviti pembersihan di kawasan Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A) serta mengecat bilik darjah.

"Selain itu, para sukarelawan turut melawat Kampung Bukit Tampoi dan Kolam Air Bangkong bagi menyampaikan sumbangan bekalan makanan kepada penduduk kampung.

"Sukarelawan dari IEM dan Universiti Teknologi Malaysia pula menjalankan aktiviti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi berkongsi pengetahuan mereka dengan anak-anak orang asli," ujar kenyataan itu.

Turut diisi pada program itu ialah sesi pertukaran budaya, karaoke, zumba disusuli slot inspirasi karier berkisar kejayaan orang asli yang menceburi bidang perniagaan dan perubatan.

Dalam pada itu, Pengerusi S P Setia Foundation yang juga Pengarah S P Setia Berhad, Datuk Zuraidah Atan berharap semangat sukarelawan diteruskan dan tidak terhenti selepas program tersebut berakhir.

"Program ini memberi pengalaman berharga dan kesedaran kepada kita untuk tidak teragak-agak mendekati komuniti yang memerlukan bantuan tanpa mengira kaum mahu pun agama," ujar beliau pada penutup program.