Lelaki maut dirempuh, nahas empat kenderaan

Mangsa maut selepas dirempuh sebuah kenderaan di kilometer 242.9 Lebuhraya Utara-Selatan (arah Utara), di sini, pagi Jumaat. - Foto PDRM
Mangsa maut selepas dirempuh sebuah kenderaan di kilometer 242.9 Lebuhraya Utara-Selatan (arah Utara), di sini, pagi Jumaat. - Foto PDRM
A
A
A

REMBAU - Seorang lelaki maut selepas dirempuh sebuah kenderaan di kilometer 242.9 Lebuhraya Utara-Selatan (arah Utara), di sini, pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, mangsa R Thiru Murugan, 26, beralamat di Taman Universiti, Skudai, Johor, disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.

Katanya, kejadian pada jam 7.24 pagi itu membabitkan empat buat kenderaan iaitu Toyota Vios yang dinaiki mangsa yang maut; Hyundai Tucson; Honda City dan Perodua Myvi.

"Siasatan awal mendapati pemandu kenderaan jenis Toyota Vios dipandu di lorong kanan dari arah Johor menghala ke Selangor.

"Semasa sampai di tempat kejadian, tiba-tiba pemandu Hyundai Tucson yang mengekori dari arah belakang hilang kawalan melanggar Toyota Vios dan menggelungsur melanggar kenderaan Honda City yang berada di hadapan Toyota Vios di lorong yang sama," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya, pemandu iaitu bapa mangsa keluar dari kenderaan dan memintanya untuk menyalakan lampu suluh bagi memberi amaran kepada kenderaan lain.

"Tiba-tiba, pemandu Perodua Myvi yang memandu di lorong tengah dari arah belakang hilang kawalan dan melanggar kenderaan dinaiki mangsa.

"Akibat dari kemalangan tersebut, mangsa yang mengalami kecederaan pelbagai telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat telah dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Rembau bagi tujuan bedah siasat, 11 pagi tadi," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.