SIC terima dana RM20 juta

Hannah dan Azhan Shafriman (kanan) berbual dengan beberapa orang anak yatim ketika Majlis Ihya Ramadan bersama media dan warga SIC di Sepang pada Khamis. - Foto Bernama
Hannah dan Azhan Shafriman (kanan) berbual dengan beberapa orang anak yatim ketika Majlis Ihya Ramadan bersama media dan warga SIC di Sepang pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

SELEPAS tidak menerima sebarang dana daripada kerajaan sejak pandemik Covid-19 melanda negara, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kini sudah boleh kembali menarik nafas lega.

Menerusi Bajet 2023, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyalurkan peruntukan sebanyak RM20 juta kepada SIC bagi menaik taraf semula infrastruktur di litar berkenaan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, peruntukan itu penting dalam usaha SIC menarik lebih banyak penganjuran acara di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

“Tahun ini kita (KBS) menerima dana daripada Bajet 2023 untuk membantu SIC. Selepas beberapa tahun tidak dapat bantuan dan sokongan daripada kerajaan, kali ini dana ini cukup penting untuk mereka.

“Ini kerana ekonomi sudah dibuka semuala dan SIC sudah ada event antarabangsa yang akan masuk (dianjurkan) pada April. Jadi sekarang kita segerakan penambaikan naik taraf infrastruktur di sini (SIC).

“Saya percaya dengan infrastruktur yang lebih lengkap dan sempurna, SIC akan menjadi satu tempat yang mampu menarik minat event organiser, bukan sahaja tempatan tetapi juga antarabangsa.

“Apabila sudah ada event antarabngsa dianjurkan semula SIC, ekonomi negara juga akan meningkat,” katanya kepada pemberita ketika Majlis Ihya Ramadan bersama media dan warga SIC di Sepang pada Khamis.

Pada masa sama, Hannah memeklumkan, KBS juga akan menyalurkan dana untuk program pembangunan bakat pelumba muda yang dilaksanakah SIC sejak beberapa tahun lalu.

“Saya percaya apabila pelumba muda ini mendapat sokongan yang baik, mereka boleh bersaing dengan meraih pencapaian yang cemerlang di pentas antarabangsa sepert yang ditunjukkan Hakim Danish (Ramli).

“Sukan permotoran adalah sukan yang mahal dan kementerian tidak mahu bersendirian dalam hal ini. Jika ia adalah sukan, ia sepatutnya dibangunkan secara bersama,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana memperuntukan dana RM20 juta bagi menaik taraf fasiliti di litar berkenaan.

“Bagi pihak SIC, saya mahu berterima kasih kepada YB (Yang Berhormat) Hannah, KBS dan Kementerian Kewangan kerana tahun ini kami dapat bantuan dana untuk kami tingkatkan fasiliti di sini (SIC).

“Alhamdulillah dengan bantuan ini, kami dapat meningkat fasiliti berkelas dunia yang mana kesemua fasiliti ini akan berada pada tahap yang lebih baik,” jelasnya.