Harimau Muda tak gentar berdepan Vietnam, Thailand

Skuad muda negara tidak takut berdepan Vietnam, Thailand.
Skuad muda negara tidak takut berdepan Vietnam, Thailand.
A
A
A

TIADA istilah gentar buat skuad bola sepak Bawah 22 tahun (B-22) negara walaupun diundi dalam kumpulan maut pada Sukan SEA Kemboja 2023 bulan depan.

Pengendali Harimau Muda, E Elavarasan yakin dengan kemampuan pemainnya selain optimis mampu mencapai keputusan positif di temasya dwitahunan itu.

“Satu undian menarik dan dalam masa sama mencabar selepas kami diundi bersama juara bertahan, Vietnam dan pasukan pilihan Thailand.

“Di sebalik pasukan negara harus realistik dengan keputusan undian tersebut, saya kekal optimis bahawa skuad ini memiliki potensi sama seperti pasukan-pasukan lain di mana kami juga memiliki keyakinan untuk turun dalam kejohanan Sukan SEA 2023 di Kemboja nanti,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam undian yang berlangsung pada Rabu itu, skuad Harimau Muda diletakkan dalam Kumpulan B bersama juara bertahan, Vietnam dan juara terbanyak dengan rekod 16 kali, Thailand selain turut dihuni Singapura dan Laos.

Saingan Kumpulan A pula menyaksikan tuan rumah, Kemboja diundi bersama Indonesia, Myanmar, Filipina dan Timor Leste.

Dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan akan layak ke peringkat separuh akhir dengan acara ‘ibu emas’ di Phnom Penh itu akan menyingkap tirai mulai 29 April hingga 16 Mei.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini meletakkan sasaran mara ke final dalam saingan Sukan SEA tersebut.

Menurut Elavarasan, sasaran tersebut tidak berubah dan para pemainnya akan cuba sedaya upaya menamatkan penantian 12 tahun meraih emas.

“Fokus dan visi kami tidak akan berubah. Sudah pasti kami akan bersiap sedia untuk berdepan kumpulan sukar ini dan tugas saya sekarang adalah memastikan pasukan ini dalam keadaan bersedia,” katanya.

Malaysia kali terakhir merangkul emas adalah pada edisi 2011 di Jakarta apabila menewaskan pasukan tuan rumah, Indonesia menerusi sepakan penalti.