Jualan Rahmah: KPDN adakan lebih banyak libat urus dengan pengilang

Salahuddin (kanan) bersama Joe Ling (kiri) melihat produk makanan ketika hadir ke Majlis Pelancaran Program Payung Rahmah Bersama Rasaku di Seksyen 7 Shah Alam pada Khamis. - Foto Bernama
Salahuddin (kanan) bersama Joe Ling (kiri) melihat produk makanan ketika hadir ke Majlis Pelancaran Program Payung Rahmah Bersama Rasaku di Seksyen 7 Shah Alam pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengadakan lebih banyak sesi libat urus bersama pengilang supaya mereka dapat bersama-sama menyertai kerajaan dalam membantu mengurangkan kos sara hidup dan bahan mentah peniaga.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya akan mendapatkan senarai pengilang yang berkaitan bagi memastikan usaha KPDN melalui Jualan Rahmah kekal mampan bagi membantu meringankan beban perbelanjaan rakyat terutama dalam kalangan golongan kurang berkemampuan.

Beliau berkata, sebagai usaha, Kumpulan Linaco, pengeluar produk bahan asas masakan di bawah jenama Rasaku telah menjadi pengilang kedua selepas Julie’s, syarikat pengeluar biskut yang menyertai inisiatif Jualan Rahmah bagi meringankan beban kos hidup rakyat menjalani Ramadan dan menyambut Aidilfitri.

"Linaco telah menunjukkan contoh yang baik dalam memberikan galakan kepada pihak pengilang lain tampil membantu bagi memastikan Jualan Rahmah ini mampan dan rakyat mendapat manfaat sebaiknya.

"Kita juga boleh membuat unjuran, dengan komitmen yang diberikan bukan sahaja daripada vendor-vendor tetapi pengilang sendiri turut menjual dengan harga Rahmah, ia pasti memberikan keselesaan untuk peniaga kecil mengekalkan Jualan Rahmah mereka,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Payung Rahmah Bersama Rasaku di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Kumpulan Linaco, Joe Ling berkata, untuk Jualan Rahmah, Rasaku menawarkan potongan harga antara 15 hingga 25 peratus bagi produk terpilih seperti santan, kerisik dan kicap.

"Ini satu daripada usaha (Linaco) mewakili industri pembuatan bahan makanan asas membantu perniagaan makanan yang terlibat dalam kategori ‘Menu Rahmah’ untuk menjimatkan kos bahan mentah mereka,” katanya. - Bernama